Ceramah khas semarak tahun baharu Hijrah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Sempena Sambutan Tahun Baharu 1442 Hijrah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jawatankuasa Takmir Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar telah mengadakan majlis ceramah khas bagi Kelas Bimbingan Muslimah Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh itu ialah Ketua Kumpulan Amal Jariah, Datin Hajah Misnah binti Haji Daud.

Ceramah khas telah disampaikan oleh daie bertauliah Majlis Ugama Islam, Dayangku Nur Izzati binti Pengiran Haji Kashran.

Menerusi ceramah berkenaan, para Muslimah dapat mengetahui lebih dalam lagi mengenai hikmah, pengajaran dan menghayati doa-doa yang terdapat dalam Al-Quran termasuklah Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah serta mengamalkan pengajaran tersebut terhadap kehidupan secara peribadi, organisasi atau masyarakat.

Antara tujuan acara berkenaan adalah untuk menyemarakkan lagi sambutan awal Tahun 1442 Hijrah dan sama-sama terlibat dalam mengembangkan syiar Islam.

Melalui acara ini juga dihasratkan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan peserta Kelas Bimbingan Muslimah.

Sebelum bersurai, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam telah dibacakan oleh imam masjid berkenaan.

Antara Muslimah yang menghadiri majlis berkenaan.