Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Dengan matlamat untuk memberikan pendedahan kepada bidang keusahawanan digital, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menghoskan Siri Ceramah Alumni UBD ke-3 bertajuk Finding Your Way in Digital Entrepreneurship, pada 19 Julai lalu.
Siri ceramah yang dikendalikan oleh Pejabat Perhubungan dan Kemajuan Alumni (OARA) itu mengetengahkan ceramah yang disampaikan oleh seorang alumni UBD, Pengarah Urusan Mindtrex Academy Sdn Bhd, Pengiran Khairi bin Pengiran Haji Metussin.
Ceramah itu dihadiri oleh kakitangan, alumni dan pelajar-pelajar UBD serta pelajar-pelajar dari beberapa buah institusi dan sekolah termasuk Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Politeknik Brunei dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).
Ceramah itu juga disiarkan secara langsung melalui laman Instagram Alumni UBD dengan ceramah diakhiri dengan sesi soal dan jawab yang interaktif.
Pengiran Khairi telah menamatkan pengajian di UBD pada 2012 dengan menerima Ijazah dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam pendidikan digital di Negara Brunei Darussalam dan Indonesia.