Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Ceramah kupas peranan perbankan dalam kewangan sosial

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar serahan UNISSA

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) dengan kerjasama Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) baru-baru ini telah menganjurkan Ceramah Umum Perbankan dan Kewangan Islam di Teater Kuliah Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), kampus Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Ceramah umum berkenaan merupakan salah satu platform penting perkongsian ilmu, pengalaman, dan maklumat mutakhir mengenai perkembangan arena perbankan dan kewangan Islam semasa di peringkat antarabangsa daripada para pakar, ilmuan dan pengamal yang berpengalaman luas dalam industri yang berkaitan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, usaha kerjasama antara FEKIm UNISSA dan BILIF itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kedua-dua buah institusi untuk menghidupkan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di UNISSA pada 14 November 2022.

    Kali ini, ceramah umum berkenaan telah mengundang seorang pakar ternama dalam bidang perbankan dan kewangan Islam iaitu Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohd Nazri Chik yang juga Timbalan Presiden Persatuan Penasihat Syariah Kewangan Islam, Malaysia, dengan dikendalikan oleh Pemangku Penyelidik dan Ketua Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Kewangan (CEFiR) BILIF, Awang Mohammad Ashri bin Sharbini sebagai moderator.

    Ceramah yang disampaikan bertajuk ‘Peranan Perbankan dalam Kewangan Sosial’ merupakan perkongsian mengenai pengalaman Malaysia khususnya BIMB dalam membangunkan kewangan sosial melalui pembiayaan mikro secara blended financing, Sadaqa House, MyWakaf, pembiayaan pembangunan tanah wakaf, saham amanah bercirikan wakaf dan sebagainya.

    Inisiatif kewangan sosial sama ada yang berasaskan instrumen tradisional seperti wakaf, zakat atau sedekah semata-mata atau yang diintegrasikan kepada sistem kewangan Islam arus perdana akan dapat membantu pencapaian Maqasid al-Syariah dalam pengurusan ekonomi yang mapan dan berdaya saing bercalakkan Islam.

    Selain itu, satu sesi perkongsian mengenai program-program kewangan Islam signature BILIF iaitu Kepimpinan bagi Kewangan dan Ekonomi Islam (LIFE) dan Program Profesional Fiqh Muamalat (FMPP) juga mengambil tempat yang disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Pembelajaran dan Program (LPD) BILIF, Awang Muhammad Habibullah bin Haji Adanan.

    Dianggarkan seramai 100 orang peserta telah menghadiri ceramah umum tersebut yang terdiri daripada para pelajar Tahun 3 dan 4 serta tenaga akademik FEKIm UNISSA, pegawai-pegawai dari BILIF, peserta jemputan yang terdiri daripada tenaga akademik UBD, pegawai-pegawai dari Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), dan Bank Usahawan.

    Juga hadir ialah Dekan FEKIm UNISSA, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dan Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Hajah Sufinah binti Haji Sahat.

    Dr Abdul Nasir menyampaikan cederahati kepada Mohd Nazri Chik pada ceramah yang diadakan di Teater Kuliah ILIA, kampus UBD.
    Awang Muhammad Habibullah ketika menyampaikan taklimat mengenai program kewangan Islam signature BILIF.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...