Ceramah maksimumkan potensi belia

Gambar serahan YPN.BN

TUTONG, 17 OGOS – Dalam respons terhadap permintaan yang meningkat untuk mempersiapkan para belia dalam menyertai sektor pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran, Young Professionals Network Brunei (YPN.BN) telah menganjurkan siri pertama Mentorship WeCan dan EmployAbility di Pusat Belia Tutong baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang diterima, sesi yang berlangsung selama dua jam ini dihadiri oleh 10 peserta dari Daerah Tutong dan Belait.

Sesi juga dihadiri oleh pengasas bersama dan juga mentor untuk Mentorship WeCan, Dayang Fatin Arifin; pensyarah dari Universiti Brunei Darussalam Dr Mazidah Mohamad dan Ketua Jabatan Maklumat Daerah Tutong, Awang Ahmad Fadillah Sellahhuddin. Kedua-dua mereka merupakan mentor siri Mentorship WeCan.

Menerusi siri EmployAbility, YPN.BN menyediakan pelbagai pendedahan terhadap kemahiran yang boleh dipindahkan dan pembangunan kepimpinan. Dayang Fatin, mentor untuk siri ini berkongsi mengenai sebab-sebab pencari pekerjaan gagal dalam temu duga. Menerusi sesi tersebut, peserta dapat mempelajari cara-cara mencapai prestasi baik dalam temu duga.

Untuk siri Mentorship WeCan, Dr Mazidah bercakap mengenai cara-cara memaksimumkan potensi peserta sementara belajar di universiti, manakala Awang Ahmad Fadillah yang mengadakan sesi Mentorship DUO bersama Haji Abdul Afiq daripada Gerakan Belia Minda (MYM) berkongsi mengenai cara-cara mengubah semangat kepada tindakan.

Mentorship WeCan ialah siri di bawah YPB.BN yang dianjurkan dua bulan sekali pada hujung minggu di mana orang awam dialu-alukan untuk mengadakan perbincangan dengan individu lain berhubung topik khusus yang diselajurkan oleh mentor YPN.BN. Dalam tempoh satu suku tahun lalu, lebih 200 individu telah menyertai ceramah yang dianjurkan.

Mereka terdiri daripada pelajar, siswazah, pekerja baharu, usahawan, ahli perniagaan, pensyarah, pesara malah juga pegawai-pegawai kerajaan.

ATAS & BAWAH: Antara peserta yang menghadiri siri ceramah yang berlangsung di Pusat Belia Tutong baru-baru ini.