Ceramah ubah cara hidup manusia

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Sempena Awal Tahun Hijrah, Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar akan mengadakan majlis ceramah khas pada 20 Ogos ini.

Dijangka hadir pada majlis yang akan berlangsung selepas sembahyang Fardu Subuh itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong selaku penaung MRSB.

Ceramah khas bertajuk ‘Semangat Hijrah untuk menjadi Manusia Baru’ akan disampaikan oleh Dr Haji Harandi Ad Dhari dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan yang sedikit sebanyak akan menyentuh tentang mengubah cara hidup sebagai manusia kepada yang lebih baik.

Majlis sambutan tersebut merupakan kegiatan tahunan masjid berkenaan, yang antara lain bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam di samping mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama dalam kalangan jemaah dan penduduk kampung.