Friday, December 6, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ceritakan kisah hidup melalui lukisan

    HANOI – Usia mencecah hampir 90 tahun, seorang pelukis Vietnam, Mong Bich memilih satu sudut di bilik kegemarannya yang berlantaikan jubin, memeriksa cahaya dan kemudian duduk untuk melukis.

    Seorang ‘peneraju’ yang memberi inspirasi kepada generasi pelukis wanita di Vietnam, Bich berjaya meraih pengiktirafan di luar negara dan mempunyai koleksi cat air dari Muzium British.

    Tetapi selama bertahun-tahun dia dipinggirkan di negara asalnya – dan terpaksa menunggu selama beberapa bulan untuk mengadakan pameran solo pertamanya.

    “Melukis adalah sama seperti makan nasi bagi pandangan saya – saya perlu makan nasi dan saya juga perlu melukis,” Bich memberitahu AFP di kediamannya di luar bandar Hanoi, di mana dia masih bekerja sehingga lapan jam setiap hari.

    Pada mulanya, dia teragak-agak untuk mengadakan persembahan secara solo, tetapi anak-anak memberi dorongan kepadanya.

    Seorang pelukis Vietnam, Mong Bich mengadakan pameran solo pertamanya di Hanoi setelah mendapat dorongan daripada ahli keluarganya. – AFP
    Pada tahun 1956 Bich memasuki Kolej Seni Vietnam di Hanoi dan dia mengambil upah melukis kartun propaganda untuk akhbar tempatan. – AFP

    Mong Bich pelukis Vietnam berusia 90 tahun. – AFP
    Orang ramai mengucapkan tahniah kepada Mong Bich semasa pameran pertamanya di Pusat Kebudayaan Perancis di Hanoi. – AFP

    “Saya tidak mahu menjual karya saya jadi ia tidak mempunyai sebarang tujuan. Lukisan saya adalah memori saya,” menurutnya menjelang pembukaan pameran pada bulan ini di ibu kota.

    Mempunyai kepakaran dalam lukisan sutera dalam kehidupan seharian dan orang kebanyakan – terutama golongan wanita – Bich merasa kesepian selama bertahun-tahun berperang melawan Amerika Syarikat, ketika para pelukis diarahkan untuk melukis tentera atau pekerja barisan hadapan.

    “Potret individu tidak berapa dihargai pada ketika itu, tetapi ia adakah kekuatan Mong Bich,” kata Phan Cam Thoung, seorang pengkritik seni yang tersohor dan penyelidik.

    Dilahirkan pada 1931 semasa era pemerintahan Perancis, Bich menghabiskan masa selama beberapa dekad menjaga suaminya, yang merupakan seorang pemain viola dan pejuang bebas yang tercedera semasa menentang pasukan Perancis di Laos. Mereka tinggal dalam keadaan miskin dan dia turut menjaga dua orang anaknya.

    Terdesak untuk mencari pendapatan, pada tahun 1956 dia memasuki salah satu dari kelas pertama Kolej Seni Vietnam yang baru dibuka di Hanoi dan dia mengambil upah melukis kartun propaganda untuk akbar tempatan.

    Tetapi kemudian dia tidak berhenti melukis gambar apa yang dilihatnya di jalan-jalan – wanita tua yang miskin, bangun dari atas lantai dan seorang ibu yang sedang menyusukan anaknya, gambar yang dianggap tidak wajar dan telah dikeluarkan dari pameran pada tahun 1960.

    “Saya melukis mengikut kemahuan saya, mengikut cita rasa saya,” katanya. “Sebilangan mungkin akan menyukai lukisan saya dan sebilangan mungkin tidak – saya tidak kisah semua itu.”

    Meskipun dia terpaksa menempuhi semua itu, ‘semangat seorang penerajunya’ masih kekal menyerlah, dan dia menjaga hasil kerjanya, menurut Nora Taylor, seorang profesor seni sejarah Selatan dan Asia Tenggara di Sekolah Institusi Seni Chicago.

    “Saya rasa ramai wanita yang memandang tinggi terhadapnya.”

    Potret cat air Bich yang menggambarkan seorang wa-nita tua sedang duduk di atas lantai telah memenangi tempat pertama Persembahan Tahunan Seni Halus Persatuan Vietnam pada tahun 1993, tetapi ia tidak menjadikan dirinya seorang yang terkenal.

    Kurangnya pengiktirafan itu adalah disebabkan oleh ‘gambaran yang mencerminkan penghapusan sumbangan-sumbangan wanita dalam sejarah seni Vietnam,” kata Taylor, seperti yang berlaku di seluruh dunia.

    Tetapi kini keadaan akhirnya berubah dan terdapat pengiktirafan yang semakin banyak mengenai kehidupan dan lukisannya, testimoni terhadap apa yang berlaku pada abad ke-20 di Vietnam.

    “Dalam banyak sudut, kisahnya adalah kisah Vietnam. Dia tidak menjalani kehidupan dengan senang,” kata Thierry Vergon, pengarah L’Espace, pusat kebudayaan Perancis yang menghoskan pameran di Hanoi.

    “Terdapat banyak keseng-saraan, kematian tetapi dia tetap meneruskan kehidupan.” Bagi Bich, hasil kerjanya akan sentiasa menggambarkan bagaimana dia mengharungi cabaran dalam kehidupannya seharian.

    “Kegembiraan adalah apabila saya dapat melukis lakaran atau sebuah gambar,” katanya.

    “Itulah cara saya bagaimana menghilangkan kesukaran hidup.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda