Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ceritera Sang Pembuat Kepala Singa

    Oleh Soon Li Wei

     

    KUALA LUMPUR, 24 Jan – Paluan gendang, gong dan simbal kedengaran dari jauh pasti mengundang rasa keterujaan pada sesiapa sahaja yang mahu menyaksikan persembahan Tarian Singa yang begitu sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

    Lazimnya dua orang terlibat dalam mempersembahkan tarian singa ini yang turut menampilkan gerak-geri akrobatik untuk menghiburkan penonton.

    Apatah lagi, lentikkan mata, kelincahan aksi dan pelbagai gelagat di sebalik ‘lembaga’ singa berwarna-warni yang mencuit hati membawa keceriaan dan kemeriahan pada sebarang acara keraian sebagai simbolik ‘menghidupkan’ suasana ataupun sebagai hiburan kepada penonton.

    Tarian Singa, yang disebut pinyin atau wushi dalam bahasa Cina, dianggap tidak lengkap sekiranya sambutan Tahun Baharu tidak diserikan dengan persembahan wajib itu yang dipercayai membawa tuah kepada keluarga ataupun para peniaga jika diadakan di kediaman ataupun premis perniagaan.

    Namun, keunikan tarian singa yang bermula lebih 1,000 tahun lepas bukan sahaja terletak pada penguasaan teknik gerak-gerinya tetapi cara pembuatan kostum kepala singa itu sendiri yang mempunyai nilai estetika tinggiyang turut menjadikannya lebih tahan lama dan lincah dalam pergerakannya.

    Wong Soon Fai, 56, bertanggungjawab membentuk kostum kepala Singa dengan menggunakan rotan iaitu proses pertama untuk membentuk keseluruhan bahagian kepala ketika ditemui di Pandan Perdana, baru-baru ini. – Bernama
    Wong Soon Fai, 56, bertanggungjawab membentuk kostum kepala Singa dengan menggunakan rotan iaitu proses pertama untuk membentuk keseluruhan bahagian kepala ketika ditemui di Pandan Perdana, baru-baru ini. – Bernama
    Leong Chang Tuck, 49, bertanggungjawab melakukan proses melukis dan mewarna corak pada kostum kepala singa ketika ditemui di Pandan Perdana, baru-baru ini. Leong yang bekerja di Dong Hwa Dragon and Lion Manufacturing Sdn Bhd, melukis dan mewarna mengikut kehendak pelanggan. – Bernama
    Leong Chang Tuck, 49, bertanggungjawab melakukan proses melukis dan mewarna corak pada kostum kepala singa ketika ditemui di Pandan Perdana, baru-baru ini. Leong yang bekerja di Dong Hwa Dragon and Lion Manufacturing Sdn Bhd, melukis dan mewarna mengikut kehendak pelanggan. – Bernama

    Proses pembuatan kepala singa Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, lebih 10 tenaga pakar dalam pembikinan kostum Tarian Singa di Dong Hwa Dragon & Manufacturing Sdn Bhd, Pandan Perdana, kelihatan lebih sibuk daripada hari-hari biasa.

    Hal ini kerana lebih 200 tempahan kostum kepala singa diterima daripada persatuan-persatuan Tarian Singa dari seluruh negara seawal Ogos tahun lepas sehinggalah tempahan ditutup pada November lepas.

    Mempunyai pengalaman selama lebih 20 tahun dalam pembuatan kostum singa, pengurusnya Chong Yen Heng menjelaskan bahawa tarian singa terbahagi kepada dua iaitu singa utara dan singa selatan.

    “Tarian singa utara berasal dari bahagian utara China yang menjadi hiburan kerabat diraja dahulu kala.

    “Tarian singa selatan pula banyak menerapkan ciri-ciri berkaitan alamsekitar dan dipersembahkan sebagai upacara membuang semangat jahat iaituNian serta meminta tuah, dan ia banyak dilihat di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

    Pembuatan sebuah kostum kepala Singa terbahagi kepada empat bahagian iaitu penyediaan rangka, tampalan kain pasir, mewarna corak dan memasang bulu.

    “Manakala dalam proses penjahitan bulu dan kain ekor singa diserahkan kepada kilang-kilang menjahit di Sri Petaling dan Taman Cheras Indah.

    “Setiap bahagian daripada pembuatan kostum kepala singa dikendalikan oleh pakar-pakar dalam bidang itu yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun.

    “Kami membahagikannya mengikut pengkhususan kerana sepanjang proses pembuatan, ia dilakukan sepenuhnya dengan tangan bagi menjadikan kostum kepala singa lebih kukuh dan tahan lama, katanya.

    Rangka singa diperbuat daripada rotan Penyediaan rangka kepala singa dipertanggungjawabkan kepada Wong Soon Fai (he), 56, bekas juru-mekanik kereta yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pembuatan kostum singa.

    Wong menunjukkan kebanyakan daripada rangka singa di Malaysia diperbuat daripada rotan, berbanding buatan dari China yang menggunakan batang buluh.

    “Kostum-kostum kepala singa dari China menggunakan buluh kerana cuacaempat musim yang mampu mendapatkan buluh berkualiti tinggi di pasaran mereka. “Walaupun buluh digunakan untuk membuat kepala singa tradisional di China,namun ia tidak sesuai dipraktikkan di Malaysia kerana buluh mudah rosak dandimamah anai-anai jika disimpan lama,” katanya.

    Bagi Wong penggunaan rotan berkualiti tinggi mampu membantu melengkungkan bentuk kepala singa dengan cantik.

    “Jika salah melengkung rotan, kepala singa nampak cacat dan tidaksempurnaserta tidak kukuh apabila ia dilekatkan dengan kepingan aluminium di peringkat seterusnya.

    “Semasa melengkung rotan juga perlu berhati-hati. Jika tersilap langkah,rotan yang dilengkung akan tercabut dan melibas tangan atau muka sehingga boleh mencederakan si pembuat,” katanya.

    Proses melengkung membentuk kepala singa turut menguji daya kesabaran seseorang kerana ia memerlukan masa yang lama untuk duduk di atas bangku.

    “Ramai yang mahu belajar kemahiran melengkungkan rangka kepala singa dengan saya tetapi tidak lama kerana mereka tidak tahan duduk di atas bangku untuk jangka masa yang panjang.

    “Ada dalam kalangan mereka sudah berputus asa kerana mengadu sakit belakang dan lutut…Saya sudah biasa kerana sudah lebih 20 tahun saya duduk di atas bangku melengkung rotan untuk membuat kepala singa,” katanya.

    Tugas membuat rangka kepala singa dikendalikan oleh Wong secara berhati-hati, daripada mengikat setiap bucu dengan tali sehinggalah memasang ‘mulut’ dan ‘telinga’ singa menggunakan kepingan aluminium.

    Antara kostum Tarian Singa yang telah siap dibungkus di dalam plastik bagi menjaga kualiti sebelum dibeli oleh pelanggan ketika ditemui di Pandan Perdana, baru-baru ini. Kostum tersebut yang dikeluarkan oleh syarikat Dong Hwa Dragon and Lion Manufacturing Sdn Bhd mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat Tiong Hwa, terutamanya sempena sambutan Tahun Baru Cina pada Sabtu ini. – Bernama
    Antara kostum Tarian Singa yang telah siap dibungkus di dalam plastik bagi menjaga kualiti sebelum dibeli oleh pelanggan ketika ditemui di Pandan Perdana, baru-baru ini. Kostum tersebut yang dikeluarkan oleh syarikat Dong Hwa Dragon and Lion Manufacturing Sdn Bhd mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat Tiong Hwa, terutamanya sempena sambutan Tahun Baru Cina pada Sabtu ini. – Bernama

    Proses melekat kertas, melukis dan memasang bulu Selepas rangka kepala singa siap, ia akan diserahkan kepada Diamond Ho Chen Leong, 38, untuk peringkat seterusnya iaitu proses pembalutan menggunakan kain kasa dan kertas pada rangka itu.

    Menurut Ho, kebiasaannya tugas ini akan diserahkan kepada beberapa pekerja untuk melekatkan kain kasa ke atas rangka itu sekiranya mempunyai banyak tempahan.

    “Selepas siap dibalut, rangka singa itu akan dibiarkan berjemur di bawah cahaya matahari sehingga kering, tempoh masa untuk kering bergantung padacuaca kerana sekiranya hujan, ia akan mengambil masa sehingga dua hari baru boleh mewarnakannya,” kata beliau.

    Selepas rangka kepala singa itu dikeringkan, kini giliran Leong Chang Tuck, 49, mewarnakan ataupun melukis corak di kepala singa itu.

    Dahulunya, kostum kepala tarian singa cuma menggunakan beberapa warna sahaja tetapi sekarang pelbagai warna digunakan mengikut permintaan pelanggan,antaranya warna merah, kuning, hijau dan biru.

    Selepas melukis corak dan proses mewarna, Leong akan menyapu syelek kalis airke atas kepala singa sebelum ia dijemur lagi di bawah cahaya matahari.

    “Pada peringkat ini, sekiranya tiada cahaya matahari, memadai sekiranya iadikeringkan dengan menggunakan angin kipas,” katanya.

    Selepas rangka kepala singa itu dikeringkan, barulah ia dihiaskan dengan bulu kambing biri-biri dan arnab di bahagian mata dan telinganya.

    “Kebiasaannya, bahagian yang lebih kecil akan dihiasi dengan bulu arnab manakala bahagian telinga dan badannya akan menggunakan bulu kambing biri-biri kerana bahagiannya lebih besar,” katanya.

    Kemudian, sarung badan yang telah siap dijahit kebiasaannya akan dicantum dengan kepala singa serta pemeriksaan dilakukan untuk membaiki mana-mana bahagian yang longgar ataupun warna luntur jika ada.

    Upacara ‘hidupkan’ singa Menurut Chong, mengikut kepercayaan masyarakat Cina selepas sesebuah kostum kepala singa siap, mereka akan ‘menghidupkannya’ dengan upacara tertentu sebelum diserahkan kepada pelanggan.

    Terdapat perbezaan saiz kostum kepala singa untuk tarian kerana tarian singa bukan sahaja terdiri daripada golongan dewasa, bahkan remaja dan kanak-kanak.

    “Saiznya bermula dari satu hingga lapan. Saiz satu untuk orang dewasa berbadan besar, manakala saiz lapan untuk kanak-kanak.

    “Kepala singa juga terbahagi kepada dua jenis iaitu Fu San (mulut besar) dan He San (mulut muncung seperti itik),” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda