Cermin mata Gandhi dilelong £260,000

LONDON, 23 OGOS – Sepasang cermin mata berlapis emas yang dipakai oleh bapa kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, dilelong di Britain pada harga £260,000.

East Bristol Auctions, dalam kenyataan di Instagram, berkata pihaknya baru saja menerima barangan berkenaan dalam tempoh empat minggu yang lalu.

“Ia diletakkan dalam peti surat kami, ditinggalkan di sana oleh seorang lelaki yang mendakwa Ghandi sendiri memberi cermin mata itu kepada bapa saudaranya.

“Hasil yang luar biasa untuk barang yang luar biasa! Terima kasih kepada semua yang membida,” katanya di Instagram selepas tamat lelongan itu semalam.

Gandhi terkenal kerana sifatnya yang suka menolong mereka yang memerlukan dan membalas budi mereka yang pernah membantunya.

Mengikut sejarah difahamkan, Gandhi memberi cermin mata tersebut kepada bapa saudara lelaki berkenaan ketika beliau bekerja untuk British Petroleum di Afrika Selatan sekitar tahun 1920an atau 30an, menurut pelelong berkenaan.

Pelelong, Andrew Stowe, memberitahu Sky News bahawa lelaki tersebut memintanya membuang saja cermin mata itu jika didapati tidak mempunyai apa-apa nilai.

“Bagaimapaun, bayangkan betapa terperanjatnya beliau bila diberitahu harganya mungkin mencecah £15,000 dan kami juga terperanjat apabila bidaan mencapai £260,000,” katanya. – AFP