Ceroboh bengkel, hukuman diputuskan 6 julai

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Seorang lelaki berusia 23 tahun yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan menceroboh rumah akan mengetahui nasibnya pada 6 Julai depan.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Hajii Sabli memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Azem Hazwan bin Abdul Razak telah menceroboh masuk sebuah bengkel di Kampung Mentiri antara lewat malam 8 November 2019 dan awal pagi keesokannya.

Hakim Mahkamah Perantaraan Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah kemudian mendengarkan daripada pihak pendakwaan bahawa defendan memecah masuk bengkel berkenaan, bersama dua yang lain, dan mencuri 18 botol minyak enjin.

Defendan sendiri mencuri dua botol.

Ketiga-tiga mereka kemudian menjual barangan curi berkenaan, membahagi-bahagikan hasilnya sesama mereka dan membelanjakannya untuk keperluan peribadi. Setelah mendapati kehilangan minyak enjin berkenaan, seorang pekerja memaklumkan pengurus bengkel yang kemudiannya membuat laporan polis dan siasatan telah membawa kepada penahanan defendan.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa defendan mempunyai sembilan sabitan terdahulu dalam rekod jenayahnya.