Ceroboh rumah kosong, didenda $1,500

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Seorang lelaki tempatan diarahkan oleh Mahkamah Majistret untuk membayar denda $1,500, atau berdepan sebulan penjara, selepas mengaku bersalah menceroboh sebuah rumah dengan niat untuk mengganggu pemilik.

Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Khairul Hafiz bin Abdullah yang dilihat memasuki sebuah rumah kosong oleh seorang lelaki warga Indonesia yang hendak memastikan sama ada jiran-jirannya mempunyai bekalan elektrik pada malam 23 November di Kampung Delima Satu.

Lelaki Indonesia itu meminta bantuan seorang lelaki lain di gerai sayur berdekatan untuk memeriksa rumah kosong berkenaan.

Mereka menemui defendan dalam rumah berkenaan dan bersemuka dengannya yang memberitahu bahawa dia sedang mencari besi buruk.

Pemilik rumah kosong berkenaan dimaklumkan, yang kemudian pergi ke rumah berkenaan dan membuat laporan polis.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah binti Ahmad Ghazali dengan dibantu Pendakwa Ahmad Firdaus bin Haji Mohammad.