ROM, 21 Sept – Pemain midfield Juventus, Emre Can memohon maaf semalam berikutan kenyataannya “kami bukan wanita, mari bermain bola sepak” dalam respons kepada insiden yang berlaku terhadap Cristiano Ronaldo yang dikeluarkan padang menentang Valencia dalam aksi Liga Juara-juara.
Ronaldo meninggalkan padang dalam keadaan menangis selepas dilayangkan kad merah berikutan kekasarannya terhadap Jeison Murillo pada minit ke-29, dalam saingan yang dimenangi oleh juara Itali itu dengan jaringan 2-0.
Bercakap kepada rangkaian sukan DAZZN, Can, 24, dipetik sebagai berkata: “Saya baru mendapat tahu ia (kad merah) disebabkan dia menolak kepala Murillo. Kami bukan perempuan, mari bermain bola sepak.”
Namun, selepas itu, Can menegaskan bahawa kenyataannya itu tidak bermaksud menghina dan mengeluarkan kenyataan permohonan maaf.
“Saya mahu mengambil peluang menjelaskan berkaitan ulasan yang saya buat sejurus perlawanan pada malam semalam. Tindak balas saya selepas melihat rakaman video Cristiano dikeluarkan padang telah menyebabkan kekecohan,” kata pemain antarabangsa Jerman itu menerusi Twitter.
“Saya ingin menyatakan bahawa komen-komen yang dikeluarkan tidak pernah fokus atau berniat untuk merendahkan wanita, bola sepak wanita atau mana-mana kesamarataan. – AFP