Cetus kontroversi, konsert kumpulan terkenal dibatalkan

TOKYO, 9 Nov – Sebuah stesen televisyen Jepun telah membatalkan persembahan sebuah kumpulan muzik popular Korea BTS, selepas timbulnya kontroversi tentang pakaian yang dipakai oleh seorang anggotanya yang menunjukkan awan cendawan yang terbentuk dari letupan bom atom.

Kumpulan superstar antarabangsa itu dijangka membuat persembahan di TV Asahi hari ini, tetapi stesen itu tiba-tiba membatalkan persembahan itu selepas gambar seorang anggota kumpulan itu, Jimin memakai baju itu menjadi tular.

“Jadual kemunculan BTS pada hari ini telah dibatalkan,” menurut kenyataan TV Asahi.

“Baju kemeja T yang dipakai oleh salah seorang anggota kumpulan itu telah menjadi tajuk akhbar dan mencetuskan kontroversi,” tambah stesen itu, dengan mengatakan ia telah membincangkan ‘niat’ di sebalik baju itu dengan label rekod kumpulan itu dan akhirnya memutuskan untuk “membatalkan kemunculan mereka.”

BTS telah mengeluarkan kenyataannya sendiri tentang kontroversi itu namun tidak menjelaskan mengapa persembahan itu dibatalkan.

“Kami memohon maaf kerana mengecewakan peminat-peminat yang menantikan persembahan kami.

“BTS akan terus cuba berhubung dengan peminat di pentas dan juga menerusi muzik,” menurut kumpulan itu di laman sesawangnya.

Anggota kumpulan BTS Jimin dilaporkan memakai baju itu tahun lalu, pada 15 Ogos, apabila rakyat Korea meraikan penamatan pendudukan Jepun pada 1945.

Hubungan antara Jepun dan Korea Selatan terus suram akibat pertikaian berhubung sejarah dan wilayah yang berpunca dari pemerintahan kolonial kejam Jepun 1910 hingga 1945 di semenanjung Korea. – AFP

Gambar fail bertarikh 24 September lalu menunjukkan anggota BTS semasa hadir pertemuan yang diadakan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York. – AP