Cetusan karya sulaman kreatif semasa musim pandemik

Oleh Nurdiyanah R.

Rentetan laporan peningkatan kes baharu gelombang kedua wabak COVID-19 melanda tanah air kita, mewujudkan kewaspadaan kepada sesiapa sahaja untuk menghindarkan diri daripada jangkitan virus dalam menjalani kehidupan seharian.

Mementingkan penjagaan kesihatan diri merupakan salah satu langkah utama yang dilakukan ketika ini bagi membendung penularan wabak ini. Semenjak peningkatan kes baharu ini juga, orang ramai berlumba-lumba untuk mendapatkan stok barangan penjagaan kesihatan seperti pelitup muka, pensanitasi tangan, sabun dan sebagainya.

Dalam pada itu, pelitup muka sudah diibaratkan sebagai ‘pendamping’ atau teman di mana-mana, di mana pemakaiannya sudah tidak asing lagi bagi semua lapisan masyarakat apabila melangkah keluar dari kediaman masing-masing.

Oleh yang demikian, melihat kepada peningkatan permintaan pelitup muka berkenaan, peniaga-peniaga dalam talian terutamanya insan-insan seni kraf tangan kreatif tanah air kita, tidak melepaskan peluang untuk aktif dalam mempromosikan produk pelitup muka dan aksesori berkaitan seperti mask extender buatan sendiri yang bergaya atau bertema dengan keistimewaan tersendiri.

Rekaan bagai cendawan tumbuh selepas hujan

Tidak kira daripada pelbagai kaedah seni pembuatan sendiri sama ada secara jahitan, sulaman mahu pun teknik mengait benang, pastinya cetusan ilham dan karya golongan berjiwa seni itu dalam menghasilkan variasi rekaan produk pelitup muka boleh dicuci dan juga mask extender tersendiri tidak pernah terhenti begitu sahaja. Malah semangat mereka tetap mengalir dengan penuh rasa cinta, lebih-lebih lagi dalam berdepan dengan krisis pandemik ini demi memenuhi permintaan pelanggan mereka.

Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah yang dapat kita bayangkan bermacam-macam gaya kreativiti sentuhan produk rekaan pelitup muka mereka menerusi variasi bahan asas yang digunakan. Antaranya sentuhan rekaan dengan menggunakan kain jenis kapas polyester, satin, lace, benang kait dan sebagainya. Pelbagai sentuhan para pengusaha produk mask extender turut mempunyai ciri keistimewaannya masing-masing. Sesetengah mereka ada yang menghasilkan jenis getah dengan kedua-dua butang di tepinya atau pun dilapisi lagi bahan getah itu dengan kain yang bercorak. Namun ada juga yang menggunakan bahan manik berwarna-warni bagi mereka bentuk produk sehingga mampu menyerlahkan lagi keanggunan si pemakainya.

Dayang Siti Nur Afizah tampil mencurahkan karya produknya melalui pelitup muka seiring dengan trend-trend terkini. – Gambar serahan Dayang Siti Nur Afizah
Variasi sentuhan produk mask extender berasaskan seni crochet juga turut diterokai oleh Hajah Syamimi. – Gambar serahan Hajah Syamimi
Peniaga-peniaga dalam talian terutamanya insan-insan seni kraf tangan kreatif tanah air kita, dilihat semakin aktif mempromosikan produk pelitup muka dan aksesori berkaitan seperti mask extender buatan sendiri yang bergaya atau bertema dengan keistimewaan tersendiri.

Hasilkan karya sambil teranah di rumah

Di kala masyarakat negara diterjah dengan krisis pandemik COVID-19 sehingga tercetusnya saranan sosial untuk sentiasa teranah di rumah, setentunya tidak mematahkan semangat salah seorang usahawan wanita penggiat seni crochet berusia 37 tahun ini untuk tampil mencurahkan karya produknya melalui pelitup muka seiring dengan trend-trend terkini. Selaku pemilik sebuah perniagaan dalam talian, Dayang Siti Nur Afizah binti Zakaria menyatakan adapun sentuhan produk pelitup muka yang diketengahkan berkenaan menggunakan kaedah buatan tangan seni crochet yang terdiri daripada bahan asas benang jenis kapas berwarna-warni dengan pelbagai karya rekaan begitu fancy.

“Pelitup muka jenis ini hanya sesuai digunakan apabila kita ingin menerapkan teknik pemakaian double face mask,” jelasnya semasa sesi temu bual dalam talian bersama penulis, baru-baru ini.

Beliau yang turut menghasilkan seni crochet bagi produk mask extender itu menambah lagi, terdapat dua elemen penting dalam seni ini iaitu benang kait dan cangkuk atau hook sebagai jarumnya. Manakala ukuran saiz cangkuk daripada kecil sehingga besar itu pula digunakan tergantung kepada pemilihan saiz ketebalan benang. Selain itu, pita ukur dan stitch marker juga merupakan antara perkakas yang turut memainkan peranan dalam menghasilkan produk seni crochet ini.

Bermula sekitar tahun 2020, insan seni crochet yang menjalankan perniagaannya secara sampingan ini turut merakamkan kesyukuran yang tidak terhingga bahawa produk pelitup muka yang baru sahaja dibukakan tempahannya lebih seminggu yang lalu itu, setakat ini jumlah tempahan berkenaan sudah mencapai puluhan pasang. Manakala sentuhan produk mask extender pula telah terjual hampir ratusan pasang sejak ia mula dibukakan tempahan pada awal bulan Ogos lalu.

Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain

Berkongsi mengenai langkah prosedur operasi standard (SOP) dan sebagai salah satu tanggungjawab sosial bersama, Dayang Siti Nur Afizah menjelaskan semua produk barangan tempahan yang sudah siap akan dilakukan semburan pembasmi kuman terlebih dahulu sebelum dilakukan proses pembungkusan dalam plastik. Setelah tersedia, para pelanggan boleh mengambil tempahan mereka ke rumah secara contactless atau menggunakan perkhidmatan runner.

“Tidak hanya bermatlamat untuk berniaga semata-mata, namun apa yang terindah bagi saya ialah sambil mencari rezeki itu, kita juga mestilah sentiasa beringat bahawa dalam rezeki yang diperolehi itu juga ada rezeki orang lain. Oleh itu, ketika kita berdepan dengan krisis pandemik ini, demi membantu pihak-pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan, saya juga menetapkan sebahagian daripada hasil kutipan jualan tersebut didermakan ke COVID-19 Relief Fund,” tambahnya lagi ketika berkongsi cerita.

Sentuhan demi meraih manfaat bersama

Sementara kegigihan salah seorang penggiat seni crochet tempatan, Hajah Syamimi binti Dato Seri Setia Haji Awang Yusof juga tidak dapat disangkal lagi mampu mencurahkan daya kreativiti sentuhannya dari variasi produk mask extender, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran pandemik ini.

Insan berusia 33 tahun ini, berbekalkan sentuhan seni crochet yang telah lama bersemadi dalam dirinya sebagai hobi terapi, menyatakan bahawa adapun produk yang diketengahkan itu memiliki saiz yang berbeza iaitu mengikut teknik kesesuaian penggunaan pelitup muka bagi seseorang pemakai. “Ia dihasilkan dengan benang kait yang sesuai sehingga berbentuk seperti headband dengan ukuran lebar dari 1.5 inci hingga 2 inci mengikut rekaan corak yang ditempah. Manakala saiz mask extender standard kira-kira panjangnya 5 inci. Namun ada juga yang menggunakan ukuran panjang iaitu 8 inci ke 10 inci tertakluk keselesaan si pemakai. Jika mereka memakai pelitup muka secara tali knot and tuck adalah digalakkan untuk menempah versi saiz panjang,” jelasnya lebih terperinci.

Sebagai seorang suri rumah yang mempunyai empat orang anak, Hajah Syamimi turut berkongsi cabaran meski sibuk mengawasi anak-anak yang pada ketika ini menjalani pembelajaran dalam talian dari rumah. Namun hal berkenaan tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya dalam seni crochet, malah merasa bersyukur dengan rezeki Allah SWT yang diperolehi selama ini.

“Menyaksikan penularan COVID-19 di negara ini, ramai rakan seperjuangan saya menghasilkan mask extender mereka masing-masing. Semuanya memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri. Namun pada ketika itu terdetik pada diri ini untuk mencuba menghasilkannya sendiri secara suka-suka tetapi bukan untuk dijual. Mengenang kembali detik mula menjiwai untuk menghasilkan produk mask extender ini sememangnya bermula dengan hanya mencuba corak pertama yang telah dikongsikan oleh rakan seni crochet yang berada di Kota Kinabalu, Sabah secara dalam talian. Di mana pada ketika itu diperlukan bagi menyediakan hadiah kepada guru-guru sekolah anak saya. Namun pasti ada hikmah di sebalik ujian yang kita hadapi sekarang, Alhamdulillah tempahan produk ini dari para pelanggan tidak putus-putus,” ujarnya dengan penuh ketulusan.

Bahan asas mudah dicari

Manakala salah seorang peniaga dalam talian yang turut mereka khas pelitup muka istimewa daripada jenis satin dengan filter pocket di dalamnya, Dayang Aiza turut berkongsi ketika dihubungi dalam talian bahawa kemeriahan anak-anak tempatan dalam mencurahkan karya sentuhan rekaan pelitup muka dan mask extender bagi kegunaan perlindungan awam semakin membanggakan dari semasa ke semasa.

“Begitu menggembirakan lagi, bahan-bahan asas yang digunakan begitu mudah dicari di kedai-kedai kain mahu pun aksesori jahitan berdekatan di negara ini seperti variasi fabrik atau kain, getah, butang dan lain-lain. Bersaing secara sihat sambil berkarya memanfaatkan kemahiran yang ada, itulah prinsip saya dalam perusahaan ini sambil berusaha mendapatkan pendapatan sampingan dalam kehidupan sehari-hari,” ucapnya dengan nada ketulusan.