CF22 sokong inisiatif tanpa beg plastik

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Sebagai usaha berterusan untuk menyokong inisiatif mengurangkan penggunaan plastik dan sisa buangan plastik di negara ini, kempen ‘Setiap Hari Tanpa Beg Plastik’ akan dilaratkan pada Pesta Pengguna ke-22 (CF22) yang bakal berlangsung pada hujung bulan ini di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Sehubungan itu, majlis penyerahan poster kempen berkenaan telah diadakan, hari ini, di D’Sunlit Sdn Bhd selaku penganjur CF22, di mana Pemangku Ketua Bahagian Perancangan dan Pengurusan Alam Sekitar, Dayang Rodziah binti Haji Adnan telah menyerahkan poster kepada Pengurus Jualan D’Sunlit Sdn Bhd, Mike Chia.

Majlis berkenaan juga telah diselajurkan dengan sidang media mengenai inisiatif tersebut.

Dengan slogan ‘It takes a nation to end plastic pollution’, CF22 amat menggalakkan para vendor dan pengguna untuk menggunakan beg guna semula sepanjang ia berlangsung.

Pesta Pengguna berkenaan turut melancarkan beg membeli-belah mesra keluarga untuk acara itu nanti.

Gambar ramai warga D’Sunlit dan Bahagian Perancangan dan Pengurusan Alam Sekitar pada majlis penyerahan poster dan beg kitar semula untuk Pesta Pengguna ke-22.

CF22 mendukung kempen tanpa beg plastik berkenaan sebagai usaha mengurangkan penggunaan plastik dan sisa buangan plastik yang mana inisiatif ini mendapat sokongan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) Kementerian Pembangunan.

Pencemaran plastik bukan sekadar masalah nasional, malah program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan sehingga 80 peratus daripada semua komposisi sampah di laut terdiri daripada plastik dan jika ini terus berlanjutan, menjelang 2050, jumlah plastik akan lebih banyak daripada jumlah ikan di laut.

Usaha mengurangkan pencemaran plastik memerlukan penglibatan semua orang termasuk pihak kerajaan, syarikat swasta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pengguna awam.