SHANGHAI, 8 Mac – Jose Mourinho tidak akan menjadi jurulatih pasukan China baharu, menurut persatuan bola sepak negara itu hari ini, di tengah-tengah laporan mengenai juara Piala Dunia bersama Itali, Fabio Cannavaro akan mengambil alih tugas itu.
Mourinho tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas dipecat oleh Manchester United pada Disember lalu dan pengurus berusia 56 tahun itu dikaitkan dengan beberapa kelab, termasuk Real Madrid.
Dia tidak akan berkhidmat untuk pasukan kebangsaan China, yang ketika ini tidak mempunyai jurulatih sejak Marcello Lippi meninggalkan pasukan itu pada akhir Januari lalu.
Bagi menjelaskan mengenai khabar angin itu, Persatuan Bola Sepak China (CFA) menyatakan menerusi Weibo: “Khabar mengenai CFA menjemput jurulatih terkenal Mourinho untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan adalah tidak benar. Disarankan kepada pihak media dan peminat untuk tidak mempercayainya.”
CFA tidak menyebut bekas pemain Itali berusia 45 tahun, Cannavaro, yang dikaitkan dengan jawatan itu oleh media setempat. Bekas pemain Itali yang menjadi ketua pasukan semasa menjuarai Piala Dunia pada 2006 akan kekal mengendalikan kelab gergasi Liga Super China (CSL), Guangzhou Evergrande dan pada masa yang sama turut mengendalikan kedua-dua pasukan, menurut laporan.
Media setempat melaporkan, Lippi, yang merupakan mentor Cannavaro dan bekas jurulatih Itali semasa merangkul Piala Dunia, akan berperanan sebagai penasihat dalam pasukan itu. – AFP

































