Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Penyerahan semula Pusat Kesihatan Enam Belait iaitu COVID-19 Holding Area Belait (CHABEL6) kepada Kementerian Pendidikan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Terdahulu, Pusat Tingkatan Enam Belait telah digunakan sebagai sebuah fasiliti pengasingan COVID yang digelar sebagai CHABEL6 sejak bulan Ogos 2021 sehingga April 2022.
Ia juga termasuk beberapa fasiliti sekolah yang lain seperti Mahad Islam Brunei yang baru-baru ini telah diserahkan semula kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Sejak gelombang kedua COVID melanda negara ini, tiga buah sekolah kerajaan telah dijadikan sebagai pusat pengasingan.
Sehubungan itu, dalam memastikan keselamatan penuntut-penuntut di sekolah-sekolah berkenaan dan semua sekolah kerajaan serta sekolah swasta lainnya, Kementerian Pendidikan dan KHEU ingin mengesahkan bahawa usaha-usaha untuk pembersihan sekolah dan persekitarannya sedang giat dilaksanakan dan adalah selamat untuk para penuntut bagi menghadiri sesi persekolahan.