Chadwick Boseman meninggal dunia

Empat tahun berjuang melawan kanser usus, bintang filem Black Panther, Chadwick Boseman akhirnya tewas apabila menghembuskan nafas terakhir, Jumaat lalu.

Menerusi laporan AFP, bintang filem berusia 43 tahun itu meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles di sisi isteri dan ahli keluarganya. Berita pemergian Boseman diumumkan keluarga melalui akaun Facebook aktor berkenaan.

“Dengan hati yang berat, kami ingin mengesahkan pemergian Chadwick Boseman. Beliau disahkan menghidap kanser usus tahap tiga pada 2016,” tulis keluarganya.

Dalam ucapan berkenaan, keluarga Boseman mendedahkan beberapa filem lakonan mendiang yang berjaya memikat penonton termasuklah Marshall, Da 5 Bloods dan Ma Rainy Black Bottom yang menjalani penggambaran ketika mendiang sedang mendapatkan rawatan kimoterapi dan beberapa siri pembedahan.

Namun, Boseman tidak pernah mendedahkan penyakit yang dideritai kepada pengetahuan umum.

Chadwick Boseman menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu selepas empat tahun berjuang melawan kanser usus. – Agensi

Dilahirkan di South Carolina, bekas graduan Unversiti Howard itu memulakan kerjaya lakonan pada 2002 dengan membawakan watak kecil dalam sebuah drama televisyen.

Namun, namanya mula menyinar selepas membawakan watak pemain besbol terkenal, Jackie Robinson menerusi filem 42 pada 2013. Namun, apa yang lebih menyedihkan, Boseman pergi pada tarikh hari memperingati bintang besbol itu.

Kemunculan menerusi filem blockbuster terbitan Marvel bermula Captain America: Civil War yang mana Boseman diberikan kepercayaan membawakan watak Kapten T’Challa sebelum muncul filem Black Panther, dua tahun kemudian. Laungan Wakanda Forever daripada filem popular digunakan di seluruh dunia.

Pemergian Boseman bukan sahaja diratapi keluarga, malahan peminat dan rakan selebriti terkejut dengan berita pemergiannya.

Bintang Captain America, Chris Evan dalam entri yang dimuat naik menerusi akaun Instagram (IG) mengakui terkejut dengan berita kematian sahabatnya itu.

“Berita yang cukup meremuk hati. Boseman, seorang yang istimewa. Seorang bintang filem asli. Beliau sangat komited dan memiliki sikap ingin tahu. Tidak ramai pelakon yang memiliki kuasa dan berkebolehan sepertinya. – AFP