Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Pasukan Tarik Kalat ChainBlock akan mengikuti Kejohanan Tarik Tali Solidariti Terbuka Tambunan Sabah pada 23 hingga 25 September 2022.
Persatuan Tarik Kalat Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Setiausaha Agung Bersama, Pengiran Haji Mohd Iskandar Shah bin Pengiran Haji Jadid dan Pengiran Haji Bakar bin Pengiran Haji Sulaiman telah sama-sama hadir bagi memberikan kata-kata semangat kepada pasukan ChainBlock yang diwakili oleh Presiden ChainBlock, Pengiran Haji Azizul bin Pengiran Haji Badaruddin serta atlet dan pengurus pasukan.
Pasukan ChainBlock akan mengikuti Kategori Berat Badan 680 kilogram bagi lapan penarik. Di samping itu, Pasukan ChainBlock juga merupakan juara tarik kalat Kategori B peringkat kebangsaan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-76 tahun.
Sebagai persiapan bagi kejohanan tersebut, pasukan ChainBlock telah menjalani latihan intensif sejak awal bulan September 2022.
