Friday, December 6, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chanel rai koleksi era glamor

    PARIS – Chanel kembali kepada era glamor yang tak lapuk dek zaman filem hitam dan putih Hollywood pada hari terakhir minggu fesyen Paris baru-baru ini. Mentol lampu besar bertatahkan huruf CHANEL bergemerlapan di pentas peragaan di Grand Palais memperkenalkan koleksi yang merai industri perfileman.

    Pereka fesyen Virginie Viard mengimpikan era yang lebih glamor, kali ini memberi tumpuan pada mood nostalgia. Beliau menghasilkan koleksi optimistik yang memberi pengiktirafan kepada bintang filem Hollywood atau Cannes serta golongan media.

    “Saya memikirkan mengenai aktres pada acara permaidani merah, ada di antara mereka yang belum kami jumpa untuk masa yang lama, wajah mereka yang selamba dengan pakaian yang dipakai mereka, suasana meriah yang wujud yang berlaku di luar industri perfileman,” kata Viard.

    Pertunjukan itu, didominasi oleh warna hitam dan putih diselangi oleh warna terang diadakan serentak dengan pameran muzium pertama yang didedikasikan kepada Coco Chanel di ibu negara Perancis, yang dibuka pada minggu lalu. Ia mempersembahkan pelbagai busana kelas atasan bergabung dengan stail kasual – dalam koleksi terkenal yang menampilkan bentuk bahu bulat dan lebar, atau serong dan mendatar.

    Viard mencipta semula dan memperkemas beberapa stail paling disukai oleh Coco. Untuk kelas atasan, terdapat koleksi sut skirt fabrik linen dan tweed hitam, skirt yang menggayakan tali pinggang besar, lengan berbentuk tiub dan manset dan kolar kemeja putih besar.

    Sesetengah gaya kasual, tidak begitu menonjol dan agak mengecewakan. Namun corak besar dalam warna cerah, seperti kolar leher penyu dan gaun corak lintasan, memaparkan huruf besar dengan nama Chanel. Akan tetapi warna tersebut tidak kena dan ia kelihatan seolah-olah pereka fesyen berusaha terlalu keras untuk menjadi moden.

    Bagaimanapun, pelbagai gaya street style yang penuh berinspirasi turut ditampilkan pada musim ini. Gaun mini hitam yang mendedahkan bahu tampak amat bergaya, dengan skirt labuh sutera hitam beralun yang mencecah pergelangan kaki. Blaus sutera hitam yang longgar mempunyai bulu putih melintang seperti selempang.

    “Gabrielle Chanel dan Karl Lagerfeld membuat pakaian untuk ramai aktres dalam filem mereka dan dalam kehidupan mereka,” tambah Viard. “Mereka mendorong kami mempunyai impian.”

    Dengan minggu fesyen Paris terpaksa diadakan secara dalam talian disebabkan koronavirus, Chanel menyiarkan pertunjukan secara langsung untuk peminat fesyen. – AFP/AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda