AKTOR Korea, Ji Chang Wook, 30, menangguhkan tanggungjawabnya menyertai Khidmat Negara buat sementara waktu bagi menumpukan perhatian terhadap karier lakonan.
Katanya, kebanyakan kerja yang harus dilaksanakan sudah disusun lebih awal, membuatkan beliau perlu menunda seketika tanggungjawab berkenaan.
“Saya mempunyai jadual seni yang sudah diaturkan dan sebelum saya pergi melaksanakan Khidmat Negara, saya perlu menyiapkan semua projek terbabit terlebih dulu. Malah, saya juga ingin melancong sebelum itu, serta meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Pastinya, mereka ialah individu yang paling saya rindui nanti,” katanya.

Di Korea, latihan tentera ialah suatu kewajipan kepada setiap lelaki yang berumur 20 tahun ke atas yang sihat tubuh badan sebagai persediaan mempertahankan negara menghadapi sebarang kemungkinan.
Perkhidmatan itu memakan masa selama dua tahun. Penangguhan berkenaan juga berikutan komitmennya sebagai bintang utama filem terbaru, Fabricated City.