Chanthu hampiri Shanghai, ribuan dipindahkan

BEIJING, 13 SEPT – Taufan Chanthu membawa angin kencang dan hujan ke metropolis timur China hari ini, memaksa ratusan penerbangan dihentikan dan puluhan ribu penduduk dipindahkan di Shanghai.

Pihak berkuasa bandar telah memindahkan sekurang-kurangnya 28,000 orang dari kawasan kejiranan yang berisiko, dengan ribut dijangka membadai malam ini, lapor badan penyiaran kerajaan, CCTV. Chanthu menghasilkan gelombang setinggi lapan meter ketika pusatnya menghampiri pantai Shanghai petang tadi, menurut Pusat Ramalan Alam Sekitar Laut Nasional.

Sebilangan besar penerbangan dari Lapangan Terbang Shanghai Pudong dan Hongqiao dibatalkan petang ini, menurut perkhidmatan penjejakan penerbangan Flightradar24, sementara Shanghai Disneyland menyatakan ia akan ditutup sehingga esok.

Chanthu berubah cepat daripada ribut menjadi taufan super, dengan kelajuan angin hingga 257 kilometer sejam (kmsj), selepas pertama kali muncul minggu lalu di antara Guam dan Filipina.

Ia diturunkan kategorinya pada hujung minggu, namun pegawai Shanghai mengekalkan taufan oren hari ini – tahap amaran tertinggi kedua – dan menggesa penduduk tidak melakukan aktiviti luar dan mesyuarat berskala besar. CCTV turut menyiarkan pekerja memakai baju hujan bergerak dari pintu ke pintu rumah malam kelmarin untuk memberi amaran kepada penduduk mengenai ribut. China turut menggantung perkhidmatan kereta api bawah tanah dan kerajaan setempat memerintahkan semua pelajar sekolah kekal di rumah bermula hari ini sehingga esok.

Chanthu melanda pantai Timur Taiwan semalam tanpa membadai daratan, mendorong pihak berkuasa di sana menghentikan perkhidmatan feri dan menutup tempat awam. – AFP

Seorang anggota polis trafik bekerja berhampiran benteng dengan latar langit Shanghai di China, 13 Sept. Penerbangan dan perkhidmatan kereta api dibatalkan serta ribuan penduduk dipindahkan di metropolis itu apabila Taufan Chanthu bergerak ke tanah besar selepas membawa hujan lebat dan angin kencang ke Taiwan. – AP