Chapecoense kembali beraksi

SAO PAULO, 6 Jan – Kelab bola sepak Brazil Chapecoense semalam berkata mereka akan beraksi dalam perlawanan persahabatan pada 21 Januari ini untuk aksi pertama sejak hampir keseluruhan skuad utama pasukan terkorban dalam nahas kapal terbang.

Pasukan yang dibentuk semula selepas tragedi yang menamatkan kisah dongeng mereka, akan menerima kunjungan pasukan utama liga Brazil, Palmeiras pada aksi persahabatan itu.

Chapecoense menyinar daripada kelab kerdil yang mara ke final kejohanan serantau, Copa Sudamericana yang dianggap setaraf dengan Liga Europa di Eropah.

Bagaimanapun, 19 pemain Chapecoense dan 24 ahli kelab lain terkorban dalam nahas itu apabila kapal terbang yang dinaiki terhempas di kawasan pergunungan Colombia pada 28 November lalu ketika dalam perjalanan ke final itu.

Tiga pemain terselamat iaitu pemain sayap Alan Ruschel, pertahanan Helio Neto dan penjaga gol, Jackson Follmann yang kakinya terpaksa dipotong.

Presiden Chapecoense Plinio, David De Nes Filho ketika ditemui pada sidang media berkata perlawanan persahabatan itu sebagai isyarat ‘perpaduan oleh kelab saudara kita Palmeiras yang berusaha menemani kami ketika saat sukar ini’. – AFP