Charcoal BBQ sertai program restoran sihat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Sebuah lagi restoran menyertai Program Restoran Sihat Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan iaitu Charcoal BBQ and Grill Restaurant di mana majlis pelancarannya telah diadakan di restoran berkenaan, hari ini.

Pelancaran program berkenaan bagi Charcoal BBQ and Grill Restaurant telah disempurnakan oleh Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Kassim dan turut disaksikan oleh pegawai kanan dan pegawai dari Kementerian Kesihatan serta jemputan.

Dengan penyertaan terbaharu itu, sebanyak 24 perusahaan makanan telah menyertai program berkenaan setakat ini.

Dalam program berkenaan, sebanyak 35 peratus menu di restoran berkenaan dikategorikan sebagai pilihan lebih sihat.

Pengusaha makanan dan minuman yang ingin mengikuti program tersebut perlu mematuhi garis panduan restoran sihat yang dikeluarkan oleh Pusat Promosi Kesihatan dan salah satu kriteria dalam panduan tersebut, pengusaha makanan dan minuman perlu menyediakan sekurangnya 25 peratus menu pilihan lebih sihat.

Dr Hajah Norhayati ketika menyerahkan sijil Program Restoran Sihat kepada cef di restoran berkenaan.

Di samping itu, pengusaha seperti restoran, pengusaha minuman dan kafe juga digalakkan untuk menyediakan pelbagai jenis menu pilihan lebih sihat dalam jumlah yang sederhana dan memenuhi permintaan pelanggan yang ingin makanan atau minuman kurang gula atau kurang garam dan kurang minyak.

Program dibukakan kepada pengusaha makanan yang berminat dengan tidak dikenakan sebarang bayaran. Pusat berkenaan akan sentiasa membuat pemantauan secara rawak bagi memastikan restoran yang ikut serta sentiasa mematuhi panduan yang disediakan.

Sebagai salah satu langkah dalam menambah baik persekitaran makanan yang sihat di negara ini, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan akan sentiasa memberikan sokongan dan khidmat bantuan kepada pengusaha makanan dan minuman yang komited untuk menyediakan menu pilihan lebih sihat.

Kementerian berkenaan juga akan sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kefahaman orang ramai akan kepentingan amalan makanan sihat dan juga mencegah dan mengawal penyakit tidak berjangkit di negara ini dalam sama-sama mencapai Visi Kementerian Kesihatan iaitu bersama ke arah warga sihat dan juga Wawasan Brunei 2035 iaitu kualiti kehidupan yang tinggi.