GENEVA – “Ia membingungkan,” ujar Eric Vanoncini di depan kelas yang penuh dengan guru-guru tatkala teks berkajang-kajang yang dihasilkan ChatGPT terpampang di skrin besar di belakangnya.
“Ia menimbulkan risiko mengganti dunia pendidikan.”
Guru Bahasa Inggeris dan falsafah sekolah tinggi itu telah mengumpulkan puluhan pendidik untuk menghadiri salah satu daripada beberapa bengkel yang dianjurkan secara tergesa-gesa di kawasan Geneva susulan rayuan meminta pihak sekolah mengeluarkan panduan mengenai cara-cara mengatasi bot atau program baharu itu.
Pelancaran ChatGPT pada November, yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meniru penulisan manusia, telah mencetuskan kebimbangan tentang epidemik penipuan di sekolah-sekolah di seluruh dunia.
“Ia membimbangkan,” beritahu Silvia Antonuccio, yang mengajar Bahasa Itali dan Sepanyol, kepada AFP selepas bengkel.
“Saya rasa saya tidak mampu membezakan di antara teks yang ditulis oleh manusia dan yang ditulis oleh ChatGPT.”
Perisian oleh syarikat California, OpenAI itu telah dilatih untuk menggunakan berbilion perkataan dan data dalam talian, sekali gus membolehkannya menulis teks seakan-akan sama dengan manusia, termasuk esei sekolah yang agak baik.
Terdapat banyak kisah mengenai bot yang menerima gred baik dalam pelbagai disiplin, termasuk lulus peperiksaan sekolah undang-undang di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Seperti Jelajah Perancis
Berdiri dalam bilik darjah gelap dan penuh, Vanoncini menunjukkan alat tersebut, meminta ChatGPT menulis arahannya…mengenai ChatGPT.
Keputusannya muncul di skrin dalam masa beberapa saat, dengan teks ringkas yang ditulis dengan baik ‘tanpa kesilapan ejaan,’ katanya sambil mengakui: “Ia agak mengagumkan.”
Pelajar sudah tentunya telah pun menyedari potensinya.
Vanoncini masih ingat bagaimana seorang rakan sekerja berasa kecewa apabila menyedari prestasi kelasnya yang tiba-tiba mencapai keputusan cemerlang untuk tugasan mungkin bukan didorong oleh kata-kata perangsangnya.
“Namun apakah yang dapat kami lakukan?” tanya salah seorang guru yang hadir.
Vanoncini mengakui ia adalah isu yang rumit, mengetepikan cadangan bahawa program yang sedang diperkenalkan untuk mengesan penggunaan ChatGPT dan alat AI lain akan menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Kebanyakan pakar bersetuju bahawa tidak ada alat yang berkesan 100 peratus.
“Ia seperti perlumbaan Jelajah Perancis,” ujarnya, merujuk kepada cara pegawai antidadah membangunkan alat untuk mengesan penggunaan dadah dan pelumba basikal dengan segera mengemukakan cara untuk memintasnya.
“Ia bagaikan permainan perdayaan.”
Mengutip telur lembu
Bagaimanapun, terdapat cara untuk guru-guru mengesan teks yang dihasilkan oleh bot, yang cenderung membuat kesilapan.
Sementara ia mungkin menghasilkan teks dengan pemikiran manusia, sebenarnya ia hanya alat ramalan teks yang amat berpengaruh, kata Vanoncini.
“Ia bukan dicipta untuk menyatakan apa yang benar…tetapi untuk menghasilkan apa yang mungkin.”
Hasilnya, awda boleh bertanyakan ChatGPT soalan berdasarkan andaian silap dan menerima respons yang nampak logik tetapi mempunyai banyak kelemahan.
“Saya bertanya: ‘Bagaimana kamu mengutip telur lembu?’,” katanya, sambil diiringi gelak ketawa dari guru-guru.
Sebagai respons, bot pertama menasihatinya supaya menyarungkan sarung tangan untuk mengelak mendapat bakteria di tangan dan seterusnya memberikan petua mengenai cara-cara mencari sarang lembu, ‘biasanya dibuat daripada jerami atau rumput kering.’
Karim Aboun, guru perakaunan sekolah tinggi, nampaknya teruja dengan contoh tersebut.
Untuk mengesan penipuan, beliau mencadangkan ‘awda mungkin menyediakan soalan munasabah yang mengandungi satu kesilapan dan melihat sama ada pelajar menggunakan alat ini tanpa menyedari skop soalan adalah salah.”
‘Tidak takut’
Sementara itu, seorang lagi peserta berkata pelajar dari keluarga yang lebih kaya dan lebih berpendidikan sentiasa menerima faedah daripada kerja-kerja memperhalus serta memperbaiki kerja rumah, mencadangkan ChatGPT mungkin ‘memberikan kelebihan kepada mereka.’
Vanoncini bersetuju ia mungkin berpotensi menjadi satu kaedah ‘mendemokrasikan’ bantuan membuat kerja sekolah.
Namun dengan OpenAI kini menimbang untuk melancarkan versi langganan yang dijangka berharga AS$42 sebulan, entah berapa lama ia mampu bertahan dan ‘benar-benar bersifat demokratik?’ tanyanya.
Walau bagaimanapun, Vanoncini menekankan timbulnya pelbagai aplikasi positif yang berpotensi untuk bot dalam pendidikan, termasuk menggunakan teks yang dihasilkan ChatGPT sebagai asas untuk perbincangan kelas dan analisis.
Ia juga mungkin mendesak pendidik menilai semula kaedah dan apa yang diajar mereka, mungkin dengan fokus yang lebih pada proses berbanding hasil keputusan.
“Saya tidak berasa takut,” be-ritahu guru elektronik Christian Stamm kepada AFP, berkata dia melihat ChatGPT sebagai satu ‘alat untuk membawa kami ke tahap seterusnya’.
“Hari ini, semua orang menggunakan kalkulator dan kami terus mengajarkan matematik di sekolah.” – AFP