Che Ta ajak jual barang dalam talian

Berpegang niat membantu peniaga yang terjejas berikutan bazar dan festival jualan sempena Ramadan dan Syawal tidak boleh dianjurkan, Rozita Che Wan mengambil inisiatif membangunkan platform membeli-belah dalam talian.

Mengerti masalah peniaga, apatah lagi dirinya bergelar usahawan, platform KiahRaya.com mempelawa pengusaha semua jenis barangan termasuk artis yang menjual produk, untuk menyertainya secara percuma.

Tidak melupakan golongan memerlukan, Rozita atau mesra disapa Che Ta berkata, selain membeli-belah, sebahagian daripada wang dibelanjakan pelanggan akan diagihkan kepada pertubuhan kebajikan.

“Penggiat seni seperti saya memang seronok duduk di rumah bersama keluarga. Tapi, kalau lama-lama, wang simpanan yang ada boleh ‘kering’.

“Saya faham perasaan anak seni dan golongan peniaga. Diharapkan dengan platform niaga ini dapat membantu kita meraih rezeki.

Che Ta berharap dengan platform niaga ini dapat membantu untuk meraih rezeki. – Agensi

“Aidilfitri pun tidak lama lagi,” katanya kepada media.

Mengenai nama ‘Kiah’ pada platform berkenaan, Rozita berkata, karakter dilakonkan dalam siri komedi Kiah Pekasam cukup kuat dan mempunyai nilai tarikan.

“Selama ini saya dikenali dengan karakter Kiah Pekasam. Jadi, kenapa tidak saya fikir suatu cabang lain yang boleh memanfaatkan semua.

“Watak Kiah itu sendiri wanita yang suka berniaga,” katanya.

Isteri kepada Zain Saidin ini menambah, platform KiahRaya.com akan mula beroperasi pada 8 Mei depan selama 10 hari.

Rozita mengaku terfikir membangunkan platform membeli-belah itu pada minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tahu ramai peniaga terjejas daripada sumber pendapatan. Jika sebelum ini, kebanyakan peniaga membuka gerai di festival jualan, kali ini, tidak ada peluang itu,” katanya.

Rozita berkata, setakat ini, artis seperti Serina Redzuawan, Janna Nick dan Mawar Rashid sudah mengesahkan penyertaan dalam platform berkenaan. – Agensi