Che Ta ditegur tak pandai jaga anak

Teguran warganet supaya tidak mengajar anak bermain aplikasi TikTok mengundang rasa kurang senang pelakon Rozita Che Wan atau dikenali sebagai Che Ta.

Ujar Rozita, dia tidak perlu mengajar anak perempuannya Aaisyah Dhia Rhana untuk menggunakan TikTok, sebaliknya perkara itu dipelajari seiring dengan perkembangan semasa.

“Alahai tak payah la diajar TikTok ni,” komen seorang warganet di Instagram Aaisyah.

“Tak payah ajar… budak-budak zaman sekarang semua cerdik,” balas pengendali akaun Instagram Aaisyah yang dipercayai Rozita sendiri berdasarkan gaya bahasanya.

Isu ini bermula apabila anak Che Ta, Aaisyah, 5, memuat naik video dia sedang menari lagu How You Like That nyanyian kumpulan Kpop terkenal Blackpink.

Rozita Che Wan kurang senang apabila menerima teguran dari warganet supaya tidak mengajar anak bermain aplikasi TikTok.- Agensi

Beberapa warganet turut menyokong teguran yang diberikan dengan mengatakan ibu bapa perlu lebih bijak dalam membesarkan anak-anak.

“Ya, budak-budak sekarang cerdik, tapi ibu bapa kena lebih cerdik untuk bimbing anak.

“Walaupun budak-budak lagi… walaupun kecil lagi, memang comel. Tapi daripada kecil la kita nak ajar jangan terkinja-kinja macam tu. Anak dah sedia lawa, comel dan cantik belaka… tak buat semua tu pun lagi lawa. Maaf ya, cuma nak kongsi pendapat.

“Dah dapat anak sempurna sifat, salah didik pula. Tak takut ke akibatnya?” komen beberapa warganet.

Rozita, 47, dan Zain, 36, mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Aaisyah yang kini berusia enam tahun.

Rozita turut mempunyai dua anak lelaki iaitu Ammar Affendy, 24, dan Aniq Ezzra, 22, hasil perkahwinan pertamanya. – Agensi