Che Ta enggan ambil risiko

Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan enggan berkompromi soal keselamatan diri sebaliknya akur dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk industri kreatif.

Sehubungan itu, Rozita atau mesra disapa Che Ta sanggup menolak tawaran berlakon jika ada individu yang terbabit dalam drama atau telefilem belum lengkap vaksinasi atau menolak daripada diberi imunisasi COVID-19.

“Soal nyawa dan peraturan, saya tiada kompromi,” katanya kepada BH Online.

Che Ta mengulas kebimbangan jika ada syarikat produksi melanggar peraturan dan membenarkan pelakon atau kru yang belum melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 bekerja di lokasi penggambaran.

Tambah Che Ta, berkata, syarikat produksi perlu akur SOP ditetapkan kerajaan kerana perkara seumpama itu boleh mengundang padah dan sangat berisiko.

Che Ta berkata bahawa dia mempunyai anak kecil di rumah, justeru tidak boleh bersikap mementingkan diri. – Agensi

“Kalau tidak mahu suntik vaksin hingga dipanggil antivaksin sekalipun, terpulanglah… Itu pilihan masing-masing.

“Apa yang kita tahu, industri kreatif yang dibuka menetapkan SOP tertentu yang perlu dipatuhi termasuk lengkap dua dos vaksin COVID-19,” katanya.

Che Ta berkata, individu yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin dianggap golongan mementingkan diri.

“Saya ada anak kecil di rumah. Jadi, saya tidak boleh bersikap mementingkan diri.

“Orang macam itu (tidak mahu vaksin) tidak bertanggungjawab dan sangat mementingkan diri. Ikutlah peraturan yang ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Kalau FINAS tahu kes perlanggaran SOP, lesen boleh ditarik. Jangan hanya kerana tidak mahu vaksin, habis terpalit semua orang yang kena bekerja selepas lama berehat,” katanya. – Agensi