Hasrat Rozita Che Wan meraikan ulang tahun ke-47 hari ini di Tanah Suci Mekah tidak kesampaian akibat wabak koronavirus (COVID-19) kini menyerang seluruh dunia.
Hal itu dimaklumkan pelakon dan ahli perniagaan yang lebih mesra disapa Che Ta itu. Dia sepatutnya berlepas mengerjakan umrah bersama suami, Zain Saidin pada 7 Mac lalu.
“Saya akan cuba meraikan ulang tahun kelahiran saya atau suami di Tanah Suci Mekah, setiap tahun. Bagaimanapun, nampaknya hasrat tahun ini tidak tertunai kerana memikirkan tahap keselamatan dan langkah berjaga-jaga akibat penularan COVID-19. Lagi pula, kerajaan Arab Saudi menggantung kemasukan jemaah umrah di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.
“Larangan ini dilakukan kerajaan Arab Saudi ekoran penularan wabak COVID-19 yang melanda negara-negara Arab ketika ini. Selain visa umrah, visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman COVID-19 juga digantung.
“Seorang rakan yang pertama kali mengerjakan umrah berdepan dengan masalah apabila ancaman mula menular hingga Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ditutup. Doa saya, kita semua dilindungi Allah SWT,” katanya yang ditemui pada majlis kejutan sambutan ulang tahun kelahiran di Studio Blackpepper, baru-baru ini.

Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia sebenarnya tidak suka kejutan pada hari lahir.
“Saya tak suka ‘surprise’. Ramai yang tanya kenapa saya? Hakikatnya saya tiada jawapan pasti.
“Sejak dahulu, saya akan mengelak kejutan hari jadi. Tetapi, arwah bapa selalu meraikan ulang tahun kelahiran ketika saya masih kecil di Kedah.
“Saya masih ingat, arwah pernah jemput satu kampung meraikan ulang tahun kelahiran saya. Arwah bapa berjawatan ketua penghulu. Ibu pula siap jahit gaun putih persis seorang puteri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Che Ta akan muncul dengan drama, Family Spy dengan memegang watak Mak Roz.
Selain Che Ta, drama rantaian itu menampilkan Alif Satar, Airiezara Jasmin, Nynas Harizal, Sham Visa dan Charis Ow. Ia bakal disiarkan di Astro Ceria pada 11 Mac ini. – Agensi