Chelsea belasah Malmo, tanpa Lukaku

LONDON, 21 OKT – Thomas Tuchel mengesahkan Chelsea menghadapi perlawanan tanpa Romelu Lukaku dan Timo Werner setelah pemegang Liga Juara-Juara digegarkan oleh masalah kecederaan pemain depan mereka dalam kemenangan 4-0 menentang Malmo kelmarin. 

Pasukan Tuchel mengetepikan pasukan Sweden tersebut di Stamford Bridge melalui sepakan penalti Jorginho dan gol daripada Andreas Christensen dan Kai Havertz. 

Tetapi kemenangan kedua Chelsea dalam kumpulan H, setelah tewas kepada Juventus dalam perlawanan sebelumnya, secara signifikan terjejas oleh kecederaan pergelangan kaki yang dialami oleh pemain penyerang Belgium, Lukaku dan masalah hamstring untuk pemain penyerang Jerman, Werner. 

Kedua-dua pemain terpaksa digantikan pada separuh masa pertama dan pengurus Chelsea, Tuchel merasa gementar untuk melihat seberapa cepat mereka dapat pulih. 

Ia merupakan pukulan yang besar jika kedua-dua pemain itu diketepikan untuk jangka masa panjang sewaktu jadual perlawanan yang sibuk ketika Chelsea berusaha untuk mempertahankan kedudukan mereka di puncak Liga Perdana Inggeris, sambil berusaha untuk masuk ke dalam kelayakan Liga Juara-Juara. 

Aksi pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante membawa bola sewaktu perlawanan Kumpulan H Liga Juara-Juara menentang Malmo FF di Stamford Bridge kelmarin. – AFP

“Kedua-duanya berada dalam keadaan baik, mereka berbahaya dan dapat membuat serta menjaringkan gol, jadi kami perlu mencari jalan penyelesaian dan pemain lain yang menunggu peluang mereka untuk bangkit dan menjaringkan gol,” kata Tuchel.

Selepas sembilan minit dalam perlawanan, Thiago Silva memberikan hantaran lengkuk tinggi kepada Christensen yang berjaya menjaringkan gol melalui tendangan voli menewaskan penjaga gol, Johan Dahlin. 

Pada minit ke-21, Lukaku membuat percubaan menewaskan pemain pertahanan Malmo, yang mendorong Lasse Nielsen untuk membuat cabaran yang keras terhadapnya sehingga menyebabkan kecederaan dan terpaksa digantikan. 

Jorginho mengambil sepakan penalti tersebut dan menjaringkan gol pertama pada musim ini dengan menggunakan tekniknya. 

Havertz membuktikan kualiti bakatnya untuk menjadi pemain penyerang ketika dia menjaringkan gol ketiga Chelsea pada minit ke-48. 

Chelsea tidak dapat dihentikan dan tindakan kesalahan Antonio Rudiger terhadap Eric Larsson telah memberikan Chelsea sepakan penalti, yang mana dijaringkan oleh Jorginho pada minit ke-57. 

Chelsea yang berada di tangga kedua, kekal tiga mata di belakang pasukan pendahulu kumpulan, Juventus dengan tiga perlawanan lagi. – AFP