Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chelsea belasah Nottingham

    LONDON, 21 Sept –Michy Batshuayi mencipta hatrik untuk membantu Chelsea membelasah pasukan peringkat kedua Nottingham Forest 5-1 di Stamford Bridge.

    Antonio Conte membuat sembilan perubahan daripada perlawanan yang berkesudahan seri 0-0 dengan Arsenal, dengan Eden Hazard diberikan permulaan pertama musim ini selepas pulih dari pembedahan buku lali.

    Kenedy kembali beraksi buat pertama kali sejak dihantar pulang dan jelajah pra musim Asia pada bulan Julai susulan komen menyakitkan dalam media sosial mengenai China.

    Usahanya untuk kembali dalam senarai skuad Conte adalah positif apabila pemain sayap itu memberikan Chelsea pendahuluan pada minit ke-13 dengan gol pertamanya sejak Mac 2016.

    Rembatan jarak dekat Batshuayi menggandakan kelebihan Chelsea enam minit kemudian sebelum pemain dari Belgium, Charly Musonda meledakkan gol pertamanya bersama Chelsea pada minit ke-40.

    Penyerang Chelsea, Eden Hazard (kanan) bersaing untuk menguasai bola dengan pemain Nottingham Forest dalam aksi Piala Liga di Stamford Bridge. Perlawanan berkesudahan Chelsea menang 5-1. – AP

    Batshuayi mendapat gol keduanya selepas menerima hantaran daripada Hazard pada minit ke-53 dan penyerang Belgium itu kemudian melengkapkan hatriknya empat minit sebelum tamat perlawanan, dengan Forest mendapat gol sagu hati di minit-minit akhir.

    Sementara itu dalam perlawanan lain, Theo Walcott memastikan Arsenal mara dengan kemenangan 1-0 ke atas lawan peringkat ketiga, Doncaster di Stadium Emirates.

    Bos Gunner, Arsene Wenger mengubah keseluruhan kesebelasan utamanya daripada perlawanan seri dengan Chelsea, menurunkan Per Mertesacker, Alexis Sanchez dan Olivier Giroud dalam kesebelasan utamanya.

    Alexis Sanchez menjadi arkitek bagi jaringan pada minit ke-25 itu, dengan membuat hantaran baik kepada Walcott, yang mengawal bola dengan bijak sebelum menjaringkan gol.

    Manakala Everton menang selesa 3-0 ke atas pasukan peringkat kedua Sunderland, dengan menyaksikan Dominic Calvert-Lewin menjaringkan dua gol di Goodison Park.

    Chelsea, Arsenal dan Everton, turut disertai oleh Man City dan Man United sebagai pasukan besar Inggeris yang mara ke peringkat seterusnya meskipun menurunkan kesebelasan yang lebih lemah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda