LONDON, 13 Sept – Chelsea mempamerkan permulaan hebat dalam cabaran Liga Juara-Juara apabila gol Pedro dan Davide Zappacosta memberikan inspirasi kemenangan 6-0 ke atas Qarabag, awal pagi tadi.
Skuad Antonio Conte tidak memberikan belas kasihan kepada pasukan dari Azerbaijan itu, dengan percubaan jarak jauh Pedro memberikan mereka pendahuluan di Stamford Bridge.
Zappacosta membuat penampilan pertama bersama Chelsea selepas perpindahannya dari Torino dan dia menandakannya dengan jaringan pertama untuk kelab, satu hantaran lintang-rembatan yang terhasil daripada larian kencang bek kanan itu.
Cesar Azpilicueta, Tiemoue Bakayoko dan Michy Batshuayi berada dalam senarai penjaring pada babak kedua bagi memberikan Blues kemenangan terbesar dalam Liga Juara-Juara.
“Ia keputusan yang bagus. Kami memulakan Liga Juara-Juara dengan cara yang betul,” kata Conte.

“Saya melihat komitmen yang besar, fokus dan tumpuan yang betul dari awal. Ia persembahan hebat daripada pemain.
“Terdapat banyak perkara positif dari kami. Davide Zappacosta bermain dengan sangat baik.”
Bersaing dalam kumpulan sukar termasuk Atletico Madrid dan Roma, juara Inggeris itu tidak mampu tercicir menentang pasukan Qarabag yang mempunyai pengalaman terhad di persaingan Eropah.
Conte membuat pertaruhan dengan membuat lima perubahan dari kemenangan 2-1 di Leicester City, merehatkan David Luiz, Victor Moses, Bakayoko, Antinio Rudiger dan Alvaro Morata. Tetapi Conte, yang membuat pertukaran dengan tumpuan pada pertembungan Liga Perdana menentang Arsenal Ahad ini, tidak perlu bimbang apabila Chelsea mula memecahkan benteng Qarabag seawal minit kelima.
Qarabag merupakan pasukan pertama dari Azerbaijan untuk bermain dalam Liga Juara-Juara, setelah bangkit daripada huru-hara peperangan untuk menjadi antara kisah kejayaan dalam kemaraan ke kejohanan itu. – AFP