Monday, January 13, 2025
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Chelsea dibenarkan jual tiket

    LONDON, 24 MAC – Peminat Chelsea boleh menghadiri perlawanan Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA sehingga tamat musim ini di bawah syarat-syarat lesen baharu yang diberikan kepada kelab oleh kerajaan United Kingdom.

    Juara Eropah itu dikenakan beberapa siri sekatan sejak pemiliknya Roman Abramovich digantung oleh kerajaan British susulan dakwaan yang dia mempunyai hubungan dengan presiden Rusia Vladimir Putin.

    Antara sekatan adalah larangan ke atas tiket yang tidak dibeli sebelum penggantungan berkuat kuasa pada 10 Mac lalu.

    Chelsea akan melayan kunjungan Real Madrid untuk perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara Eropah pada 6 April dan berdepan Crystal Palace pada separuh akhir Piala FA pada hujung minggu 16/17 April di Wembley.

    Lesen baharu itu membenarkan tiket-tiket dijual untuk perlawanan berkenaan, dan perlawanan-perlawanan selepas itu termasuk Liga Juara-Juara, Piala FA atau Liga Super Wanita, dengan hasil jualan akan disalurkan kepada penganjur kejohanan berkaitan.

    Penyokong Chelsea juga dibenarkan untuk membeli tiket bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris di tempat lawan dan bagi penyokong lawan di Stamford Bridge.

    Bagaimanapun penjualan tiket kepada penyokong sendiri untuk perlawanan liga di Stamford Bridge masih tidak dibenarkan.

    “Kerajaan hari ini telah membuat pindaan kepada lesen kepada kelab Bola Sepak Chelsea supaya peminat boleh mendapatkan tiket untuk perlawanan di tempat lawan, perlawanan piala dan perlawanan wanita,” kata Menteri Sukan Britain Nigel Huddleston.

    Syarikat induk Chelsea Fordstam Limited juga dibenarkan menyuntik $30 juta pound ke dalam kelab untuk membenarkannya memenuhi tuntutan kewangan sehingga akhir musim. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda