LONDON, 20 Jan – Chelsea akan berusaha untuk mengetepikan krisis Diego Costa apabila pendahulu Liga Perdana itu melayan Hull City di Stamford Bridge, sementara pemburu kejuaraan Tottenham mahu mengekalkan momentum mereka apabila menentang Manchester City Ahad ini.
Penyerang The Blues, Costa dilaporkan bertelagah dengan pengendali Chelsea, Antonio Conte (gambar) minggu lepas mengenai rawatan kelab ke atas kecederaan belakangnya.
Di tengah-tengah laporan yang juga melaporkan Costa menerima tawaran mewah dari kelab Liga Super China, Tianjin Quanjian, Conte telah mengekalkan tumpuan para pemainnya apabila mereka menghancurkan Leicester 3-0 minggu lepas meskipun ketiadaan penyerang Sepanyol itu.
Dengan Chelsea menolak untuk mempertimbangkan bagi menjual penjaring terbanyak mereka kempen ini, Conte kelihatannya mula menenangkan gelora dan Costa telah kembali menjalani latihan penuh minggu ini.
Conte menolak untuk mengakui adanya pertelagahan dengan Costa, tetapi ia pasti menjadi tumpuan sama ada dia mengembalikan posisi penyerangnya itu dalam kesebelasan utama dengan banyak yang perlu dipertaruhkan dalam pemburuan kejuaran.
Hull belum pernah menewaskan Chelsea sejak 1988, tetapi penjaga gawangnya Eldin Jakupovic berkata pasukan bawahan itu lebih bahaya di bawah kendalian bos baru, Marco Silva.
“Dia memberikan kami keyakinan. Kami perlu bermain bola sepak kami. Itu kadangkala sukar dalam Liga Perdana tetapi dia melakukan tugas yang baik dan para pemain juga melakukan tugas yang baik,” kata Jakupovic. – AFP