LONDON, 7 JULAI – Chelsea semakin hampir untuk membuat pembelian utama pertama era Todd Boehly di Stamford Bridge selepas dilaporkan bersetuju dengan syarat peribadi yang ditetapkan dengan pemain sayap juara Liga Perdana, Manchester City iaitu Raheem Sterling kelmarin.
Agensi Sky Sports melaporkan bahawa perpindahan Sterling ke London adalah ‘semakin dekat’ walaupun bayaran masih belum dipersetujui antara dua buah kelab.
Sterling, 27, memasuki tahun terakhir kontraknya di Etihad, tetapi City dijangka akan mempertahankan bayaran perpindahannya dalam lingkungan AS$54 juta.
Pemain antarabangsa England itu telah memenangi empat kejuaraan Liga Perdana antara sembilan buah trofi utama sejak menyertai City dari Liverpool pada 2015.
Sebagai seorang pemain tunggak utama pada tahun-tahun awal di bawah kepimpinan Pep Guardiola di City, Sterling telah menjaringkan sebanyak 131 gol dalam 337 penampilan bagi juara Inggeris itu.
Walau bagaimanapun, kedudukan tetapnya dalam kesebelasan utama di City semakin terancam selepas pembelian Jack Grealish dengan rekod Liga Perdana £100 juta tahun lalu, ditambah dengan kemunculan Phil Foden yang juga dari akademi kelab tersebut.
City turut memperkukuhkan pilihan serangan mereka untuk musim baharu dengan ketibaan Erling Haaland dan Julian Alvarez.
Chelsea kini berada dalam rundingan bagi mendapatkan pakar penjaring gol selepas melepaskan Romelu Lukaku kembali ke Inter Milan secara pinjaman hanya setahun selepas membelanjakan £97 juta bagi penyerang Belgium itu.