Chelsea ke separuh akhir

PARIS, 19 April – Pedro Rodriguez beraksi cemerlang ketika Chelsea mengetepikan Slavia Prague dalam kemenangan 4-3 untuk layak ke separuh akhir Liga Europa awal pagi tadi, sementara Arsenal menewaskan Napoli selepas permainan meyakinkan di Itali.

Mendahului 1-0 dari perlawanan pertama minggu lalu di ibu negara Czech, Chelsea dilihat mara dengan selesa ke persaingan empat pasukan terakhir selepas jaringan awal di Stamford Bridge.

Pedro menjaringkan gol pembukaan lima minit sebelum Simon Deli menjaringkan gol sendiri dan Olivier Giroud menambah gol ketiga ketika perlawanan memasuki suku jam di London.

Tomas Soucek menjaringkan satu gol bagi Slavia minit ke-26, tetapi pemain penyerang Sepanyol, Pedro melakukan tindak balas segera bagi memastikan pendahuluan tiga gol Blues.

Pasukan kendalian Maurizio Sarri itu dipaksa bekerja keras ketika dua jaringan pantas menerusi Petr Sevick hanya selepas rehat, memberikan Slavia harapan bagi kebangkitan luar biasa dengan perlawanan hanya berbaki 35 minit.

Olivier Giroud (kanan) penjaring terbanyak Europa setakat ini, meraikan jaringan ketiga pasukannya ke atas Slavia Prague di Stamford Bridge. – AP

Chelsea jelas menamatkan ancaman untuk mara menerusi garegat 5-3 biarpun permainan separuh masa kedua yang kurang meyakinkan.

“Kami berkesan di depan dan kukuh di belakang tetapi kami melepaskan kedudukan itu selepas rehat,” Giroud, yang menjaringkan gol ke-10, memberitahu BT Sport.

“Kami bermula dengan teruk pada separuh masa kedua tetapi saya gembira kerana kami beraksi dengan baik pada 45 minit pertama dan mara ke separuh akhir Europa yang mana begitu penting bagi kami,” tambah bos Chelsea, Sarri.

Juara Liga Europa 2013 itu akan bertemu dengan Eintracht Frankfurt dalam empat pasukan terakhir selepas pasukan dari Jerman itu menyingkirkan Benfica menerusi jaringan gelanggang luar.

Eintracht tewas 4-2 di Portugal minggu lalu, tetapi jaringan menerusi Filip Kostic dan bekas pemain tengah Bayern Munich, Sebastian Rode memastikan pemegang Piala Jerman itu mara di Commerzbank Arena. – AFP