Chelsea menang mudah

LONDON, 8 Mac – Chelsea mendominasi Dynamo Kiev bagi menguasai perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Europa menerusi jaringan Pedro Rodriguez, Willian dan Callum Hudson-Odoi yang membantu kemenangan 3-0 tuan rumah di Stamford Bridge, kelmarin.

Kelab London itu mungkin perlu memenangi kejohanan itu bagi memastikan mereka kembali ke Liga Juara-Juara musim depan, apabila mereka kini menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris dan menepati status sebagai pasukan pilihan menentang kelab Ukraine.

Pedro menyumbat masuk gol selepas menerima hantaran bijak daripada Olivier Giroud untuk membuka jaringan pada minit ke-17 dengan penjaga gol Denys Boyko beraksi cemerlang menyelamatkan Kiev daripada dibolosi lebih banyak gol sebelum rehat.

Bagaimanapun, sepakan percuma Willian pada minit ke-65 dan gol pemain gantian Hudson-Odoi pada minit terakhir jelas menggambarkan dominasi tuan rumah.

“Kami mungkin boleh menjaringkan lebih banyak gol terutama pada babak pertama, tetapi keputusan ini bagus,” kata pengurus Chelsea, Maurizio Sarri.

“Kami berjaya mengelak daripada dibolosi gol di tempat sendiri, sesuatu yang amat penting dalam persaingan ini.

“Kami perlu pergi ke sana dengan tahap tumpuan yang bagus dan strategi terbaik jika mahu terus melayakkan diri.”

Kemenangan ketiga berturut-turut mengekalkan momentum Chelsea dan sesuatu yang amat diperlukan Sarri, yang sebelum ini di ambang pemecatan hanya beberapa minggu lalu.

Pengurus dari Itali itu mengenepikan Eden Hazard, N’Golo Kante dan HGonzalo Higuan tetapi Chelsea masih mempamerkan prestasi yang mantap. – AFP

Giroud menanduk bola sambil diasak oleh pemain Dynamo Kiev dalam perlawanan pertama peringkat 16 Liga Europa kelmarin. – AFP