Chelsea rembat tiga mata

LILLE, 3 OKT – Ledakan menarik Willian telah memberikan Chelsea kemenangan 2-1 yang berharga di Lille, yang berharap untuk memulakan semula kempen Liga Juara-Juara mereka, sebaliknya ia adalah skuad muda Frank Lampard yang mencuri tumpuan awal pagi tadi.

Pemain sayap Brazil itu menghasilkan satu voli pada minit ke-78 bagi menjaringkan gol penentu perlawanan di Stade Pierre-Mauroy dalam penampilannya yang ke-300 buat kelab itu.

Tammy Abraham lebih awal meletakkan Chelsea di depan pada hari jadinya ke-22 dengan gol kelapannya musim ini, hanya mendapati Victor Osimhen menyamakan kedudukan buat Lille.

Chelsea kini mempunyai tiga mata dalam Kumpulan H selepas tewas di laman sendiri kepada Valencia dua minggu lalu, sementara Ajax meneruskan rentak menariknya dengan maksimum enam mata di puncak.

“Secara keseluruhannya ia adalah perlawanan yang bagus. Bukan mudah untuk beraksi di sini. Ia adalah persembahan hebat daripada pasukan,” kata Abraham.

Pasukan Lampard akan berdepan Ajax dalam saingan seterusnya dan pastinya menyimpan kepercayaan baharu selepas kemenangan itu.

“Ia tempat sukar, dengan sorakan penyokong mereka, kepantasan yang ada pada mereka, terutamanya serangan balas berbahaya, jadi kami sentiasa bersedia menghadapinya dan saya fikir persembahan kami adalah sangat bagus,” kata Lampard. – AFP

Willian (kiri) meraikan jaringannya ke atas Lille bersama Cesar Azpilicueta. – AP