LONDON, 10 Mei – Pendahulu Liga Perdana, Chelsea mengatasi kelab lain seperti Barcelona dan Manchester United apabila berjaya menandatangani pemain berusia 15 tahun, Billy Gilmour dari Rangers, kata kelab gergasi Glasgow itu.
Rangers mahu pemain skuad Bawah-17 tahun Scotland itu kekal di Ibrox tetapi tidak boleh menghalang keinginan Gilmour untuk berpindah ke selatan dan dia akan menyertai akademi Chelsea pada musim panas ini.
Perpindahan pemain tengah itu ke Chelsea dianggarkan bernilai 500,000 pound (AS$647,000).
Walaupun masih belum membuat penampilan pertama bersama skuad utama Rangers, Gilmour dilabel sebagai pemain yang sangat berpotensi besar dan berjaya menarik minat beberapa kelab gergasi di Britain dan Eropah,dengan Arsenal, United, Barcelona serta Bayern Munich semuanya mengintai peluang bagi mendapatkan pemain muda berbakat itu.
“Kelab mahu mengekalkan Billy bersama Rangers tetapi dia menjelaskan mengenai keinginannya untuk berpindah ke Liga Perdana dan adalah penting kami meletakkan nilai maksimum terhadap bakatnya dan kami percaya kami telah melakukannya,” kata kenyataan dikeluarkan Rangers. – AFP