LONDON, 18 Jan – Chelsea memerlukan sepakan penentuan penalti sebelum menyingkirkan Norwich selepas seri 1-1 dalam aksi ulangan pusingan ketiga pagi ini, ketika Bournemouth diaibkan Wigan 0-3.
Skuad Antonio Conte mengharungi perlawanan sehingga tamat masa tambahan dengan sembilan pemain apabila kad merah pada babak akhir perlawanan dilayangkan kepada Pedro dan Alvaro Morata di Stamford Bridge.
Mereka dipaksa bertarung hingga ke masa tambahan apabila gol penyamaan saat akhir Jamal Lewis memadamkan jaringan Michy Batshuayi sebelum itu.
Penjaga gol simpanan Chelsea, Willy Caballero muncul wira apabila menyelamatkan percubaan Nelson Oliveira dalam penentuan penalti yang berkesudahan 5-3 yang membawa Blues berdepan Newcastle pada pusingan keempat.
Ia adalah kemenangan pertama Chelsea pada tahun ini, selepas seri empat perlawanan semua kejohanan sejak awal tahun ini.

“Inilah Piala FA, bukan mudah untuk memenangi perlawanan. Kami memberikan segala-galanya, pada akhirnya kami bermain dengan sembilan pemain jadi kami memberikan karakter yang hebat,” kata bintang Chelsea, Eden Hazard.
“Kami gembira tetapi juga sedih kerana kehilangan dua pemain. Kini kami boleh terus fokus kepada liga.”
Pengurus Norwich, Daniel Farke menambah: “Secara jujurnya ia amat mengecewakan, ada di antara pemain menangis di bilik persalinan.”
Conte membuat Sembilan pertukaran daripada perlawanan menentang Leicester yang berkesudahan seri 0-0 Sabtu lalu dengan Hazard, Cesc Fabregas, Thibaut Courtois dan N’Golo Kante diketepikan daripada kesebelasan utama.
Selepas perlawanan ditangguhkan selama 15 minit berikutan kesesakan trafik di luar stadium, Chelsea mendominasi separuh masa pertama dan hampir mendahului perlawanan apabila rembatan jauh Danny Drinkwater terkena palang. – AFP