LONDON, 14 Mac – N’Golo Kante menjadi wira Chelsea bagi kemenangan sengit 1-0 ke atas Manchester United yang bermain 10 orang dalam suku akhir Piala FA yang tegang awal pagi tadi, sementara Antonio Conte dan Jose Mourinho dilihat berbalah di garisan tepi.
Jaringan menarik Kante di separuh masa kedua, yang mana telah menyingkirkan juara bertahan United, hadir selepas pemain tengah United Ander Herrera dilayangkan kad merah sebelum rehat atas dua kekasaran ke atas bintang Chelsea, Eden Hazard.
Marah dengan pendekatan agresif United dalam separuh masa pertama, pengurus Chelsea yang meradang, Conte berdepan dengan bos United, Mourinho dan kedua mereka terpaksa dipisahkan oleh pengadil keempat.
Mourinho juga memukul bola hampir terkena Conte dalam minit-minit terakhir ketika dia cuba mengembalikannya ke dalam padang, mencetuskan satu lagi perbalahan dengan warga Itali itu. Namun Conte menjadi pemenang terakhir, terima kasih kepada Kante dan rekod kelab Chelsea mencapai 13 kemenangan berturut-turut di laman sendiri bagi menempah tiket ke pertembungan separuh akhir dengan Tottenham Hotspur di Wembley bulan depan.

Pendahulu Liga Perdana itu, kini tanpa tewas dalam 12 pertembungan terakhir mereka dengan United, kekal dalam laluan bagi kejuaraan berganda dalam musim pertama Conte sejak dilantik sebagai pengganti kekal Mourinho.
Ia telah menjadi satu kunjungan mengecewakan ke Stamford Bridge bagi bekas pengurus Chelsea, Mourinho, yang telah menyaksikan United mengalami kekalahan ketiga mereka dalam semua persaingan sejak dibelasah oleh pasukan lamanya pada bulan Oktober.
Selepas satu kunjungan meletihkan ke Rusia bagi pertembungan Liga Europa dan, dengan perlawanan kedua Jumaat ini, perlawanan ini dilihat sukar bagi United yang beraksi tanpa Zlatan Ibrahimovic, Wayne Rooney dan Anthony Martial kerana penggantungan dan kecederaan. Dikawal rapat oleh United di awal perlawanan, Hazard tidak mengambil masa lama untuk bangkit menjadi fokus serangan dengan melakukan pusingan menarik melepasi kawalan Chris Smalling. – AFP