Chelsea tambah derita Liverpool

LONDON, 5 MAC – Mason Mount melonjak Chelsea ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil kemenangan 1-0 ke atas Liverpool, manakala Everton menang dengan jaringan sama di West Brom.

Jaringan babak pertama Mount sudah cukup untuk menambah derita juara bertahan itu dan pada masa sama meneruskan kebangkitan Chelsea di bawah pengendali baharu, Thomas Tuchel.

Chelsea belum tewas selepas 10 perlawanan dalam semua pertandingan sejak Tuchel menggantikan Frank Lampard yang dipecat pada Januari.

Mereka kini berada satu mata di depan Everton, yang bermain kurang satu perlawanan.
“Sudah tentu ia perlawanan enam mata kerana apabila anda menang dan yang satu lagi tewas. Masih ada 11 perlawanan berbaki dan persaingan diteruskan,” kata Tuchel.

Everton merakam tiga kemenangan berturut-turut dengan Richarlison, sekali lagi menjadi wira skuad kendalian Carlo Ancelotti itu. Benteng Everton juga semakin mantap apabila tidak dibolosi tiga perlawanan berturut-turut.

Aksi Mount ketika menjaringkan gol tunggal pasukannya pada perlawanan menentang Liverpool di Stadium Anfield, Liverpool, kelmarin. – AFP

Richarlison menanduk masuk hantaran lintang Gylfi Sigurdsson pada minit ke-65 untuk gol keempatnya dalam empat perlawanan.

“Kami beraksi dengan baik sekarang dan kini bersaing untuk kelompok teratas liga. Musim masih panjang tetapi kami dalam persaingan dan gembira berada di sana,” kata Ancelotti.

Sementara itu, Jurgen Klopp mengakui kekalahan 1-0 Liverpool di tangan Chelsea adalah satu tamparan hebat buat skuadnya yang kini tewas lima perlawanan berturut-turut di laman sendiri buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Skuad kendalian Klopp ditundukkan di Anfield oleh jaringan Mason Mount di akhir babak pertama.

Selepas menamatkan kemarau 30 kejuaraan EPL musim lalu, Liverpool yang dibelenggu kecederaan mengharungi deretan keputusan mengecewakan dan kini berdepan tugas sukar untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas.

Dengan hanya 11 perlawanan berbaki, Liverpool kini berada di tangga ketujuh – ketinggalan empat mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.

“Ia bukan berkenaan Anfield atau apa saja, ia secara umum, terlalu kerap. Pada saat getir kami perlu tampil lebih baik. Anda tidak boleh katakan ia hanya di laman sendiri. Kami perlu menunjukkan kualiti dalam saat sebegini dan kami tidak cukup melakukannya.

“Ia adalah perlawanan yang tegang dan sukar. Ia satu tamparan hebat. Kami perlu menang perlawanan bola sepak. Ia belum berakhir,” kata Klopp.

Klopp tidak berpuas hati dengan pertahanannya yang membolehkan Mount membolosi mereka.

Dia juga kecewa dengan ketumpulan barisan serangan yang diterajui penjaring terbanyaknya, Mohamed Salah.

“Anda perlu bertahan dengan cara berbeza dan kami tidak melakukannya. Akhirnya kami dibolosi kerana kesilapan sendiri. – AFP