Chelsea tangani isu keganasan domestik

LONDON, 3 APRIL – Chelsea telah bekerjasama dengan pusat kebajikan keganasan domestik, Refuge, untuk memberikan kesedaran dan memberikan sumbangan dalam menyokong wanita dan kanak-kanak yang mengalami isu tersebut semasa perintah berkurung disebabkan oleh koronavirus.

Pakar memberi amaran bahawa penularan virus akan membawa kepada ‘pandemik keganasan domestik.’

Pengasingan diri berpotensi untuk memburukkan lagi sikap keganasan oleh pelaku dan boleh membuatkan keadaan lebih mencabar bagi wanita untuk membuat laporan dan mencari sokongan.

Pemain dari pasukan lelaki dan wanita Chelsea telah mengambil bahagian dalam kempen digital, dengan kelab Liga Perdana Inggeris berjanji untuk menyamai kesemua derma yang diterima dalam tempoh enam minggu akan datang.

“Keganasan domestik merupakan isu yang serius dalam masyarakat dan kami mesti menggandakan usaha untuk menjaga mereka yang dalam bahaya semasa pandemik yang sedang berlaku,” kata ketua pasukan Cesar Azpilicueta.

“Saya sangat bangga dengan kelab kerana menyokong Refuge dalam kerja penting mereka untuk menjaga wanita dan kanak-kanak yang terdedah.”

Sandra Horley, ketua eksekutif Refuge, menambah: “Ini mengenai isu hidup dan mati. Sekarang, lebih dari sebelumnya, Refuge perlu untuk mencapai wanita dan anak-anak mereka yang memerlukan perkhidmatan ini.

“Terima kasih Chelsea FC dan para penyokong, kami harap untuk mengumpul dana yang diperlukan dan mencapai lebih ramai wanita yang mengalami keganasan. Bersama kita mampu menyelamatkan dan mengubah kehidupan.” – AFP

Chelsea telah bekerjasama dengan pusat kebajikan keganasan domestik, Refuge, untuk memberikan kesedaran dan memberikan sumbangan dalam menyokong wanita dan kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan domestik ketika perintah berkurung. – Agensi