LONDON, 22 DIS – Tammy Abraham menjaringkan dua gol pantas pada lewat perlawanan kelmarin ketika Chelsea mengalahkan West Ham 3-0 untuk kembali memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kekalahan berturut-turut.
The Hammers terbukti lawan bukan mudah di Stamford Brigde yang kosong tetapi jentera serangan yang lemah untuk mengucar-ngacirkan pertahanan pasukan Frank Lampard, namun Chelsea mendahului perlawanan menerusi tandukan kencang Thiago Silva.
Chelsea menikmati permulaan yang meyakinkan pada awal musim sebelum tewas kepada Everton dan Wolves yang membantutkan perkembangan mereka tetapi kemenangan di Stadium London melonjakkan mereka ke tangga kelima.
Pasukan juara, Liverpool menjarakkan jurang lima mata di puncak liga tetapi di belakang mereka, hanya tujuh mata yang memisahkan pasukan tangga kedua, Leicester dari pasukan tempat ke-11, Wolves.
“Sangat bagus untuk melihat keputusan pada akhir perlawanan kerana kami berada dalam kedudukan 1-0 di mana ia adalah sukar, kami berjaya menanganinya dengan baik,” Lampard memberitahu BBC.

“Kami tercicir mata dan malam ini sangat penting untuk kami kembali semula,” tambahnya. “Pasukan menunjukkan sikap mereka – kami mahu lebih lagi.
“Krismas banyak berubah bagi semua orang pada tahun ini. Bagi pemain, kami hanya mahu membuat persediaan untuk menentang Arsenal, ini adalah masa yang paling sibuk buat kami.”
West Ham berjaya menyumbat gol pada minit ketujuh hasil sepakan percuma yang bijak tetapi gol daripada Declan Rice itu dinafikan setelah didapati ofsaid selepas penyudah kemas dari sudut yang sempit.
Tiga minit kemudian Chelsea berada di hadapan apabila Silva menanduk masuk bola hasil hantaran lintang daripada Mason Mount.
Pemain Brazil tersebut berjaya menjaringkan gol dari jarak dekat setelah membuat larian bijak, membuatkan penjaga gol West Ham Lukasz Fabianski terpaku melihat bola. – AFP






























