Chen balas kritikan dengan pingat emas

TOKYO, 30 JULAI – Pemain China, Chen Meng berharap ini akan menjadi permulaan ‘era saya sendiri’ setelah dia mengalahkan rakan senegaranya, Sun Yingsha untuk memenangi gelaran pingpong perseorangan wanita di Olimpik Tokyo.

Dalam pertarungan dua pemain terbaik dunia itu, Chen tewas perlawanan pertama sebelum bangkit 9-11, 11-6, 11-4, 5-11, 11-4, 11-9 untuk menang pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Chen dan Sun kemudian berpelukan selepas perlawanan dan meraikan kejayaan bersama.

China yang kini menang 29 daripada 34 pingat emas pingpong dalam sejarah Sukan Olimpik, akan menambah satu lagi emas, esok apabila dua pemain lelaki negara itu berentap sesama sendiri di final.

Isnin lalu, China dikejutkan gandingan beregu campuran tuan rumah, Jun Mizutani dan Mima Ito memenangi emas pertama Jepun dalam acara pingpong di Sukan Olimpik.

Pemenang pingat emas, Chen Meng China dan pemenang pingat perak, Sun Yingsha ketika bergambar bersama pingat kemenangan mereka dalam acara pingpong perseorangan wanita di Gimnasium Metropolitan Tokyo semalam. – AFP

Tetapi, China yang merangkul semua emas dalam sukan itu di tiga Sukan Olimpik sebelum ini, kembali menguasai acara perseorangan lelaki dan wanita.

Chen mengatakan memenangi emas adalah penentu kepada mereka yang telah meragukannya pada usia 27 tahun, dia adalah wanita tertua yang memenangi emas perseorangan wanita.

“Selama bertahun-tahun saya mengalami banyak perkara, saya telah tewas dan saya diragui,” katanya.

“Cuma saya tahu betapa sukarnya menang hari ini, jadi saya ingin memberitahu diri saya anda berjaya.

“Saya harap dari saat ini saya benar-benar dapat mulai membangun era saya sendiri,” tambahnya.

Ito, pemain harapan tuan rumah yang dilihat sebagai ancaman bagi orang Cina, meraih pingat gangsa setelah tewas di separuh akhir kepada Sun.

“Matlamat saya adalah untuk menang, jadi saya gembira kerana dapat memenangi pingat gangsa, tetapi saya merasa lebih kecewa,” kata pemain Jepun itu. – AFP