Chen timang anak perempuan

Ahli kumpulan EXO, Chen kini sudah sah bergelar seorang bapa.

Isteri kepada penyanyi tersebut telah selamat menimang cahaya mata pertama di sebuah hospital di Seoul pada Rabu lalu.

Menurut laporan Soompi, pihak pengurusan SM Entertainment turut mengesahkan mengenai berita tersebut.

“Ya benar! Chen EXO dan isteri dikurniakan anak hari ini (Rabu),” kata pengurusan.

Anak damit perempuan itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan masih berada di hospital. Pada 14 Januari lalu, Chen atau nama sebenar Kim Jong-dae mengumumkan dia bakal berkahwin dengan kekasihnya.

Chen mendedahkan mengenai perkara itu menerusi sekeping surat yang ditulis untuk peminat. Enggan membiarkan ia terus menjadi spekulasi peminat, agensi pengurusan SM Entertainment segera mengeluarkan kenyataan dan memberitahu majlis itu akan diadakan secara tertutup. – Agensi

Chen (EXO) kini sah bergelar bapa setelah selamat menimang cahaya mata pertama. – Agensi