Cheng Hoe mahu Harimau Malaya bersedia

KUALA LUMPUR, 12 JUN – Ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Tan Cheng Hoe mahu Harimau Malaya bersedia menghadapi perlawanan sengit pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada September ini.

Malaysia memulakan kempen dengan langkah kanan apabila memperoleh dua kemenangan besar terhadap Timor Leste 7-1 dan 5-1 dalam aksi pertama dan kedua saingan playoff di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun, peringkat pusingan kedua merupakan satu lagi saingan sengit kerana 40 pasukan yang layak termasuk kuasa-kuasa besar bola sepak Asia seperti Qatar, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan bersaing untuk mendapatkan 12 tempat pada pusingan ketiga dan slot automatik ke Piala Asia 2023.

Walaupun Cheng Hoe dan anak buahnya telah melakukan sehabis baik setakat ini, jurulatih berusia 51 tahun itu percaya pasukannya masih perlu bekerja keras dan bersedia untuk menghadapi cabaran daripada gergasi Asia.

“Kita akan jumpa pasukan lebih kuat dan jauh lebih baik daripada kita pada pusingan kedua September ini. Saya mahukan semua pemain bersedia dari sekarang kerana peringkat seterusnya bukan mudah.

“Kemungkinan besar kita akan diundi bersama negara seperti Iran, Jepun dan Qatar. Pemain kena sedia terima tekanan yang lebih tinggi dan kuat sekiranya berhadapan negara-negara itu,” katanya pada sidang media praperlawanan Malaysia-Timor Leste, semalam.

Malaysia menduduki tempat keempat di belakang juara Arab Saudi, UAE dan Palestin dalam Kumpulan A pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata tiada seorang pemain pun ketika menentang Timor Leste yang dijamin tempat untuk beraksi pada September ini kerana beliau ingin membentuk pasukan yang kukuh.

Mengenai kejayaan membenam Timor Leste, Cheng Hoe gembira dengan prestasi pasukannya dan menyifatkan bahawa Harimau Malaya sepatutnya bermain begitu sejak Piala AFF 2018. – Bernama