Cheng Hoe nafi ketepi pemain berpotensi

KUALA LUMPUR, 19 NOV – Ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Tan Cheng Hoe menolak persepsi sesetengah pihak terutama peminat bola sepak tempatan bahawa barisan pemain muda Malaysia yang berpotensi tidak mempunyai tempat dalam pasukannya.

Menjelang saingan Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura, Cheng Hoe menyifatkan tanggapan itu tidak berasas dan ia dibuktikan dengan penyenaraian beberapa pemain muda dalam senarai 28 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula Isnin depan.

“Kita sudah masukkan beberapa nama contoh Luqman (Luqman Hakim Shamsudin) yang memang telah bersama pasukan negara, Mukhairi (Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi), Quentin Cheng dan Azri Ghani (Muhammad Azri Ab Ghani) untuk diberi peluang.

“Nama-nama ini kita (barisan kejurulatihan) rasa mereka mempunyai masa depan yang bagus dan kita akan beri peluang kepada mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini sambil menambah, Azri Ghani telah menunjukkan prestasi amat baik ketika beraksi bersama skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Malaysia.

“Kita telah memantau dia (Azri Ghani) sejak dia bersama skuad Bawah 19 Tahun kendalian Bojan Hodak lagi dan saya rasa inilah masa terbaik untuk dia diberi peluang bersama pasukan senior,” jelas Cheng Hoe. – Bernama