KUALA LUMPUR, 23 MEI – Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengakui berdepan masalah dalam memilih kesebelasan terbaik untuk diturunkan bagi mengharungi cabaran getir dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.
Cheng Hoe menjelaskan hal tersebut adalah disebabkan oleh pemain sudah lama tidak mempunyai aksi kompetitif antarabangsa, faktor lain seperti tahap kecergasan dan momentum persembahan dimiliki setiap anak buahnya turut diberi perhatian dalam menentukan barisan terbaik.
Skuad pasukan kebangsaan Malaysia akan mengadakan aksi pemanas badan menentang Kuwait malam ini dan Bahrain pada 28 Mei ini.
“Kita masih mencari kesebelasan terbaik untuk perlawanan akan datang, namun sudah semestinya dengan beberapa kombinasi malam ini saya rasa sedikit sebanyak dapat gambaran mengenai kesebelasan utama menentang UAE nanti,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.
Selepas beberapa siri latihan dijalankan, Cheng Hoe dilihat gembira dengan komitmen diberikan para pemain dan seterusnya percaya ia sedikit sebanyak dapat memberi keyakinan kepada mereka untuk turun beraksi pada perlawanan akan datang. – Bernama
