BEIJING, 1 SEPT – Kira-kira 21 juta orang di bandar Chengdu di China akan dikurung mulai hari ini, ketika pihak berkuasa berusaha membendung wabak COVID baharu.
China adalah ekonomi utama terakhir yang terikat dengan dasar sifar-COVID yang berhasrat menghentikan serangan virus dengan penutupan segera, ujian besar-besaran dan kuarantin yang panjang.
Chengdu menjadi bandar yang terbaharu mengumumkan penutupan dan dalam notis rasmi mengarahkan penduduk untuk ‘diam di rumah’ mulai 6 petang waktu tempatan bagi memerangi gelombang baharu jangkitan.
Notis itu menyatakan, setiap isi rumah akan dibenarkan menghantar seorang individu sahaja keluar untuk membeli barangan runcit dan barangan keperluan setiap hari, dengan syarat mereka sudah diuji negatif dalam tempoh 24 jam sebelumnya.
Katanya, semua penduduk juga akan diuji antara hari ini dan Ahad, malah menggesa mereka untuk tidak meninggalkan bandar melainkan ‘memerlukan’.
“Keadaan kawalan wabak semasa adalah tidak normal, kompleks dan suram. Langkah-langkah itu bertujuan untuk menahan penularan wabak secara tegas dan menjamin kesihatan semua rakyat,” kata notis itu lagi.
Dalam pengumuman berasingan menyatakan, Chengdu merekodkan 157 jangkitan tempatan baharu hari ini dengan 51 daripadanya adalah tidak bergejala.
Menurut laporan oleh media yang bergabung dengan People’s Daily hari ini, kanak-kanak di sekurang-kurangnya 10 bandar dan wilayah menghadapi gangguan pada tahun akademik baharu kerana kawalan pandemik yang memaksa sekolah untuk beralih kepada langkah seperti pembelajaran dalam talian. – AFP