Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cherchesov harap lebih banyak keraian

    SAINT PETERSBURG, 20 Jun – Jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov berkata tuan rumah Piala Dunia itu berharap lebih banyak keraian selepas menghampiri peringkat 16 terakhir dengan menewaskan Mesir yang diterajui oleh Mohamed Salah dengan jaringan 3-1.

    Skuad Rusia telah menjaringkan lapan gol dalam dua perlawanan pertama mereka, di mana sebelum ini menewaskan Arab Saudi 5-0 dalam perlawanan pembukaan di Moscow minggu lepas.

    Keputusan itu meletakkan Rusia dalam laluan ke peringkat kalah mati Piala Dunia buat pertama kali sejak era Soviet.

    Tetapi Cherchesov berkata ia belum selesai dan Rusia masih mempunyai banyak kerja untuk dilakukan.

    “Piala Dunia bukan dihadiahkan kepada pasukan yang menjaringkan lapan gol awal,” kata Cherchesov kepada para wartawan selepas perlawanan.

    “Kami selangkah ke pusingan seterusnya dan kini kami perlu membuat persiapan bagi cabaran seterusnya.”

    Rusia telah mengharungi tujuh perlawanan tanpa menang memasuki kejohanan itu dan dikritik teruk oleh media atas persembahan dan kualiti permainan mereka.

    Cherchesov berkata pasukannya tidak pernak panik.

    “Kami tidak menggunakan perkataan ‘masalah’ di sini,” katanya.

    Rusia bakal menamatkan perlawanan peringkat kumpulan menentang juara dunia dua kali, Uruguay.

    Cherchesov berkata dia menjangkakan Uruguay bakal memberikan saingan hebat.

    “Mereka adalah pasukan yang 100 peratus berbeza. Mereka pada peringkat yang berbeza.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda